Skandal LCS: Rafizi dakwa isteri menteri wakili 'jerung' besar


ISTERI seorang menteri persekutuan dinamakan sebagai pemilik dua syarikat yang didakwa menyeleweng dana projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion.

Dalam pendedahannya hari ini, Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli mendakwa isteri Abdul Latiff Ahmad terlibat dengan dua syarikat berstatus syarikat pesisir luar pantai (“offshore”) yang mempunyai nama mirip dengan sebuah syarikat Perancis.

Syarikat-syarikat tersebut telah didaftarkan sebagai Alizes Marine Limited di Malta dan sebuah lagi syarikat bernama Alizes Marine Labuan yang didaftarkan di Labuan yang kedua-duanya tidak boleh dijejaki.

Dalam kenyataannya sebentar tadi, Rafizi mendakwa “syarikat palsu” itu menerima bayaran daripada projek LCS dan perkara itu didedahkan dalam pangkalan data dokumen bocor Paradise Papers dan dalam laporan siasatan dalaman projek LCS.

Sebagai rekod, Abdul Latiff merupakan Ahli Parlimen Mersing yang memenangi kerusi itu melalui tiket UMNO sebelum menyertai Bersatu selepas parti itu tumbang pada PRU2018.

Dia adalah Timbalan Menteri Pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013. Menteri Pertahanan ketika ini ialah Datuk Seri Zahid Hamidi yang merupakan Presiden Umno sekarang.

"Semakan saya menunjukkan bahawa skim menyeleweng dana awam dari projek LCS ini dibuat selama bertahun-tahun dan dengan penuh perancangan.

“Saya juga boleh mengesahkan bahawa ada pelbagai bentuk kontrak pertahanan lain yang melibatkan Latiff Ahmad dan LCS bukan satu-satunya projek yang melibatkan syarikat-syarikat berkait dengan beliau.

“Hakikat bahawa skim-skim menyelewengkan dana LCS menggunakan syarikat-syarikat palsu yang dimiliki oleh timbalan menteri pertahanan pada ketika itu bukanlah satu kebetulan,” kata Rafizi.

Syarikat isteri individu tersebut itu yang dilantik sebagai perunding teknikal dan pembekal alat ganti menurut Rafizi menghantar invois bagi kerja-kerja yang tidak dilaksanakannya, dan mengakibatkan sebanyak RM243 juta diseleweng.

Rafizi berkata, beliau telah menuntut penjelasan daripada menteri pertahanan ketika itu Ahmad Zahid Hamidi, dan kemudian perdana menteri Najib Razak kerana “mustahil” sebarang penyelewengan dana boleh berlaku tanpa pengetahuan mereka.

“Sebab itu, saya dari awal telah menuntut penjelasan dari Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan yang bertanggungjawab menukar reka bentuk kapal dari Sigma kepada Gowind, dan Najib Razak yang merupakan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.

“Mustahil skim penyelewengan ini yang melibatkan projek-projek yang dikendalikan oleh kedua-dua mereka (Najib dan Zahid) boleh berlaku tanpa pengetahuan mereka.

Sehubungan itu Rafizi berharap dengan pendedahan itu, ia akan menutup mulut UMNO dan Barisan Nasional yang cuba menyalahkan pesara-pesara tentera laut dalam skandal itu.

“Skandal sebesar ini tidak boleh berlaku tanpa ada dalang dari kalangan pimpinan UMNO yang membuat keputusan-keputusan besar pada ketika itu, sedangkan pesara-pesara tentera laut hanya bersubahat melaksanakan penyelewengan.

“Saya juga berharap pimpinan Perikatan Nasional dari BERSATU dan PAS mula sedar bahawa skandal LCS ini akan turut mengheret mereka kerana pimpinan kanan mereka, Latiff Ahmad dan keluarganya terlibat secara langsung di dalam syarikat-syarikat palsu yang menyelewengkan dana projek LCS.

Abdul Latiff nafi Zainab adalah isterinya
“Saya menunggu reaksi pimpinan UMNO, PAS dan BERSATU yang membentuk Kerajaan Persekutuan kali ini,” katanya.

Sementara itu, melalui satu laporan ringkas oleh FMT, Abdul Latiff  melalui satu kenyataan menafikan dakwaan Rafizi dengan berkata, “Merujuk kepada laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek LCS), saya menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya seperti mana yang dinyatakan dalam berita tersebut.

Post a Comment

0 Comments