Tuduh bukan Islam pengamal rasuah, Presiden PAS ambil fakta mana?

 


PRESIDEN Pas, Abdul Hadi Awang dikritik susulan kenyataan perkaumannya yang mendakwa sebahagian besar pelaku rasuah di negara ini membabitkan orang bukan Islam dan bukan bumiputera.

Ketua Penerangan KEADILAN, Fahmi Fadzil dipetik laporan media berkata, tidak wajar pemimpin politik itu membuat tuduhan rambang yang tidak disertakan dengan bukti yang menjatuhkan maruah kaum lain.

"Dari mana dia dapat angka-angka ini? Kenyataan secara umum begitu benar-benar suatu tuduhan liar, dan tidak wajar.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pun tidak mengeluarkan pecahan pelaku rasuah mengikut kaum," katanya.

Abdul Hadi yang dilantik sebagai Duta khas bertaraf menteri selepas Mahiaddin Md Yassin menjadi perdana menteri melontar dakwaan itu ketika mengulas isu rasuah di Malaysia.

Sambil menuduh pihak tertentu mengejar harta secara haram, dikalangan mereka katanya menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.

"Majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan bumiputera," kata Abdul Hadi sambil menegaskan bahawa golongan mengamalkan politik wang tidak akan memilih pemimpin dan pentadbir berintegriti.

Sementara itu Fahmi ketika mengulas dakwaan Abdul Hadi itu turut mengingatkan pemimpin 'parti islam' itu bahawa jika melihat kepada skandal rasuah yang memalukan negara seperti 1MDB, individu utama yang terbabit membuat keputusan ialah orang Melayu-Islam iaitu Najib Razak.

Apabila melihat skandal terkini membabitkan kapal tempur pesisir (LCS), katanya, mereka yang terlibat dalam pengkhianatan ke atas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu juga pemimpin Melayu-Islam juga dikaitkan seperti Najib dan Ahmad Zahid Hamidi.
 
"Kita mesti berhenti meletakkan kesalahan kepada orang lain," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Sementara itu Naib Presiden KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad berpendapat dakwaan Abdul Hadi hanya menghangatkan sentimen kaum di negara itu.

Dakwaan itu tegasnya tidak disandarkan fakta atau angka untuk menyokong kenyataan tersebut.

"Dia cuba memfitnah dalam usaha untuk mewajarkan politik Melayu-Islam yang mengkhianati perjuangan (bekas pemimpin PAS) Dr Burhanuddin Helmy dan Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 
"Rasuah bukan tentang kaum atau agama, tetapi sebahagian besarnya adalah jenayah golongan elit ke atas rakyat biasa Malaysia," kata Nik Nazmi.

Tambah Ahli Parlimen Setiawangsa itu lagi Abdul Hadi hanya mengutamakan kepentingan diri sendiri berbanding kepentingan rakyat semasa membuat kenyataan tersebut.

Abdul Hadi cuba panaskan sentimen kaum ?
"PAS bekerjasama dengan Umno pada 2018 dan kemudian Bersatu pada 2020. Dia tidak peduli pun bagaimana tindakan itu mengelirukan ahli PAS di lapangan, melemahkan kedudukan parti sebagai alternatif kepada parti-parti ini di kawasan Melayu dan paling penting, dia mengkhianati perjuangan parti.

"Dakwaan tersebut juga dibuat untuk Abdul Hadi mengelak daripada dipertanggungjawabkan apabila timbul isu rasuah di negeri dan kementerian ditadbir PAS," tambah dipetik laporan Malaysiakini.

Post a Comment

0 Comments