Rafizi bakal dedah dalang sebenar penyelewengan LCS hari ini


TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Rafizi Ramli dijangka akan membuat pendedahan baharu berhubung penyelewengan wang projek kapal tempur pesisir (LCS) hari ini.

Bercakap di majlis pelancaran trak #AyuhMalaysia di Wangsa Maju malam tadi, Rafizi menjelaskan beliau akan mendedahkan pempimpin politik yang bertanggungjawab disebalik masalah yang berlaku pada projek pertahanan terbesar itu.

“Dia boleh dinamakan kerana bukti telah ada.

"Tunggu Isnin, saya akan sebut barang jenis apa dibeli dengan RM1.7 bilion (peruntukan untuk membina LCS itu). Ada yang tak ada kena-mengena dengan perang pun, yang kita boleh beli dari 7-Eleven," katanya.

Sementara itu dalam satu hantaran di Facebook, Rafizi berkata keputusan untuk mendedahkan nama ahli politik tersebut dibuat bagi mengelakkan nama-nama besar yang didakwa terlibat dalam skandal tersebut terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Saya membuat keputusan menamakan ahli politik tersebut untuk mengelakkan beberapa bilis sahaja 'dikambinghitamkan' sedangkan jerung-jerung terlepas.

“Hebahkan kepada seluruh rakyat Malaysia. #AyuhMalaysia kita perangi mat-mat sakau yang merompak duit rakyat," katanya.
 

Rafizi sebelum ini menegaskan skandal itu  dirancang oleh 'jerung' yang mempunyai kuasa dalam projek LCS di luar pasukan keselamatan negara.

Kuasa yang ada pada 'jerung' itu, tambah Rafizi, termasuk melantik kontraktor, menentukan spesifikasi projek, membuat bayaran pendahuluan dan mempunyai wang tunai untuk disalurkan ke luar negara sebelum penghantaran kapal dibuat.

"Saya tengok LCS ini, dua tiga minggu ini memang ada dakwaan. Seorang dah kena dakwa dan saya rasa ada akan kena dakwa lagi.

"Setakat ini saya tahu semua ini melibatkan bekas tentera laut. Dia kata semua yang tamak itu bekas tentera laut, masalahnya ia melebihi kebolehan gred gaji mereka.

"Selapis demi selapis kebenaran terbongkar, apabila kita tengok syarikat palsu dengan secara tersusun cuba meniru nama syarikat yang betul-betul wujud, palsukan dokumen dan alat dibeli di syarikat wujud tapi barang diambil tak ke mana-mana dihantar, kemudian invois pun tak ke mana-mana," katanya.

Untuk makluman, Rafizi sebelum ini telah memulakan siri pendedahan berhubung isu projek LCS oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan beberapa dakwaan antaranya Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menerima dokumen sebut harga daripada Naval Group (dahulu dikenali sebagai DCNS) sebelum surat lantikan (LOA) kerajaan Malaysia.
 
Didalangi  'jerung' besar, bukan bilis kecil


Beliau turut mendakwa sebuah syarikat luar pesisir diwujudkan untuk memindahkan sejumlah RM192 juta daripada projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) ke beberapa akaun luar negara yang tidak dapat dijejaki.


Katanya, siasatan dalaman LCS mendapati, Alizes Marine Limited yang ditubuhkan di Malta, adalah antara syarikat luar pesisir yang banyak menerima bayaran bagi perkhidmatan pembekalan tidak wujud.

Post a Comment

0 Comments