Skandal LCS: KEADILAN buat laporan polis gesa siasat Latiff


PENGARAH
Strategi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Akmal Nasrullah Mohd Nasir, laporan polis terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Latiff Ahmad berkaitan skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS) semalam.
 
Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Baharu membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan di bawah Kanun Keseksaan sekiranya berlaku sebarang unsur salah guna kuasa, pecah amanah atau rasuah dalam skandal berkenaan.

"Pendedahan telah dibuat oleh Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli serta laporan juru audit dalaman telah menamakan Latiff yang disyaki terlibat dalam skandal LCS.

"Namun, penafian menteri berkenaan sehinggalah saat ini hanyalah melalui kenyataan di Facebook tanpa mengemukakan apa-apa bukti yang kukuh," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Abdul Latiff seharusnya mengisytiharkan harta beliau bagi membantu siasatan.

Malah beliau mempersoalkan apakah Abdul Latiff benar-benar tidak mengetahui akan projek perolehan itu meskipun beliau menjawat jawatan kedua tertinggi dalam Kementerian Pertahanan ketika itu.

"Kalau kita lihat penjelasan mantan Timbalan Menteri Pertahanan tersebut (Abdul Latiff) menyebutkan bahawa beliau menjadi timbalan menteri sehingga tahun 2013, manakala kontrak LCS ditamatkan pada tahun 2014.

"Yang ini saya bagi pihak saya sendiri kita nak tengok sama ada kalau nak kata selaku Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu langsung tidak tahu akan kontrak LCS, langsung tidak tahu projek dilaksanakan itu, suatu yang agak luar biasa," jelasnya.

Sebelum ini Rafizi dalam beberapa siri pendedahan mengaitkan bekas pemimpin Umno itu dengan Zainab Mohd Salleh, seorang wanita yang didakwa Rafizi sebagai isteri Latiff.

Beliau turut memperincikan kaitan kedua mereka dengan sebuah syarikat palsu yang ditubuhkan sebagai syarikat luar pesisir' untuk menyelewengkan dana LCS dengan mendapatkan kontrak untuk membekalkan alat ganti untuk kapal.

Latiff bagaimanapun berulang kali menafikan Zainab merupakan isterinya, walaupun Rafizi membuat dakwaan itu dengan merujuk laporan forensik yang dijalankan bagi meneliti projek tersebut.

Dengan laporan polis difailkan itu, Akmal berharap siasatan dapat dibuat bagi mengesan elemen conflict of interest (konflik kepentingan) kerana Latiff sebagai pemegang amanah dan penjawat awam pasti tahu tentang perancangan projek itu.

"Pertama adalah soal aliran wang yang berlaku atau money trail, sebagaimana kita tahu kontrak melibatkan LCS melibatkan beberapa lapisan dan syarikat, manakala kita tahu juga syarikat ini ada syarikat palsu seakan-akan syarikat di luar negara.

Akmal tuntut Latiff buat pengisytiharan harta
"Money trail pasti ada, duit telah dikeluarkan sehingga RM210 juta maksud transaksi telah berlaku, sekiranya dana tersebut dan wang tersebut tidak dimasukkan kepada syarikat sebenarnya. Mana duit itu hilang?" soal Akmal.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu berkata, beliau turut akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya berkaitan isu sama pada Khamis.


Post a Comment

0 Comments