Menyertu dosa dengan naratif 'jasa lama'

Oleh: HARIS HAUZAH  | “Lebih baik menjadi seorang yang licik daripada menjadi seorang bijaksana. Kita boleh saja tersilap jika kita menjadi seorang yang bijak. Tetapi kita tidak akan tersilap jika kita menjadi seorang yang licik.”

Akan ada saja naratif yang sengaja dicipta bagi menerbalikkan fakta-fakta perbicaraan dan hukuman mahkamah menjadi jahat dan hina.

Ia malah akan menjadi lebih mudah untuk dilakukan sekiranya pesalah tadi datang dari kelompok 'manusia istimewa'. Misalnya Jimmy Savile yang pernah mengeluarkan kata-kata itu di hadapan masyarakatnya.

Naratif-naratif sedemikian tidak akan wujud kalau seorang janda anak tiga dijatuhi hukuman penjara kerana mencuri satu tin serbuk minuman di sebuah kedai serbaneka. Malah tidak akan ada mana-mana lelaki berbadan sasa akan mahu datang ke depan pintu istana untuk mendesak agar janda yang terdesak itu segera diberikan pengampunan.

Drama-drama sebegini hanya muncul apabila ada penjenayah berprofil tinggi atau pesalah bangsawan disumbat ke penjara.

Tujuan naratif yang dicipta itu pula hanyalah untuk meyertu pesalah terbabit - yang sudah diberikan status keaiban negara - agar berubah menjadi seorang seorang wira.

Tidak ada apa yang menghairankan sekiranya segala fakta dan hujah mahkamah mahu diabaikan begitu sahaja. Pada mereka kebenaran terletak pada budi dan jasa yang pernah seseorang lakukan sebelum mereka terciduk.

Justeru kerana itulah mereka tidak rasa bersalah untuk menghebahkan ke seluruh negara tentang betapa besarnya budi serta banyaknya jasa yang pernah dicurahkan oleh seorang banduan yang menjarah harta rakyat.
ADS

Kelicikan Saville


Adalah penting untuk kita mengetahui bahawa perca-perca gerakan seperti sekumpulan mak cik yang turun menangis di mahkamah mampu untuk mengolah rasa simpati orang ramai.

Hal ini ada kaitannya dengan kisah Jimmy Savile yang bangga mengaku dirinya tidak bijak mana, tetapi macam berrasa mulia apabila dapat mengejek seluruh masyarakatnya.

Mesej yang disampaikan Savile ialah: Sesiapa pun tidak akan tertangkap atas kejahatan masing-masing jika mereka licik sepertinya.

Kelicikan Savile itu didedahkan melalui satu filem dokumentari berjudul Jimmy Savile : A British Horror Story.

Ia mengejutkan masyarakatnya sama seperti buku Billion Dollar Whale tulisan Tom Wright dan Bradley Hope yang melondehkan sebuah skandal yang berselirat di seluruh dunia dan membodohkan jutaan manusia.

Jimmy Savile: A British Horror Story sebuah dokumentari yang mahu membina naratif kebenaran yang tidak pernah dilihat oleh manusia dalam dunia nyata.

Ia cuba meluruskan perspektif masyarakat British yang selama ini dikelabui oleh kegagahan imej serta reputasi mulia Savile sebagai seorang selebriti kayangan di negaranya.
ADS

Savile dikenali sebagai seorang watak yang suka melakukan kebaikan serta kerja-kerja kebajikan. Sebut saja mana-mana kelompok manusia, siapa yang tak pernah dibantunya.

Bahkan dia kadang-kadang seperti lelaki kiriman tuhan. Datanglah kepadanya, maka Savile akan seboleh mungkin membantu mereka untuk tidak kecewa. Daripada anak kecil hingga orang tua, ketua polis, ahli parlimen, semua mendapat kebaikan Savile.

Sisi gelita


Malah Putera Charles dan bekas perdana menteri, Margaret Thatcher, memiliki hubungan yang agak istimewa dengan Savile.

Dua episod siri dokumentari Jimmy Savile: A British Horror Story itu benar-benar menaikkan darah serta bulu roma anda tatkala menontonnya. Akan ada rasa marah, bengang, sedih dan kecewa terhadap manusia yang sering dibutakan oleh naratif terancang.

Dokumentari itu perlahan-lahan menyusun semula naratif berupa pengucapan dan kata-katanya dalam temu bual serta rancangan kelolaannya. Ia dibina hingga menjadi sebuah cerita seram dan amat menakutkan.

Selama lebih 50 tahun seluruh rakyat United Kingdom menyaksikan rancangan-rancangan Savile bersiaran. Selama itulah tiada siapa pun yang nampak hakikat di sebalik kelicikan seorang Savile.

Sementara kemuliaan dan budi seseorang selalu ada, ia tidak menjamin kehidupannya di satu lagi sisi akan sama bersih dan mulia. Biasanya akan ada sisi gelita yang selalu disembunyikan dengan licik.

Dalam konteks Savile, muncul lebih 400 maklumat berkenaan kejahatan Jimmy merogol serta mencabul mangsanya, termasuk kanak-kanak. Dalam keadaan begitu pun ramai saja masyarakat UK masih enggan mempercayai maklumat tersebut.

Melalui dokumentari itu anda akan dapat mendalami serta memahami sendiri bagaimana kebaikan budi dan jasa - yang diolah dengan naratif yang 'kena' - mampu membuat ramia manusia kehilangan kewarasan masing-masing.

Sepertimana yang diingatkan dalam tulisan ini, mak cik-mak cik yang turun menangis dan menjerit-jerit di mahkamah baru-baru ini memiliki potensi membuat otak kita berhenti berfungsi dengan waras.

Paling tidak, ia mungkin saja melahirkan sejenis masyarakat yang mengabaikan hujah dan fakta yang ada di sekeliling mereka. Tahap paling bahaya ialah apabila wujud masyarakat yang sama sekali gagal memahami mengapa akal dicipta.

Hanya mahu percaya apa yang mereka mahu
Kita boleh melihat kebanjiran status memainkan emosi simpati, mengajak mengenang kebaikan seseorang penjahat dan seumpamanya di media sosial.

Seperti mak cik-mak cik itu, fakta tidak lagi menjadi faktor utama dalam pertimbangan kerana mereka hanya mahu percaya apa yang mereka suka. Dan 'budi' seorang banduan menjadikan mereka terawang-awang dihanyutkan perasaan.

Eksploitasi sebegitulah yang menyebabkan seorang lelaki jahat seperti Savile boleh terlepas begitu saja di atas dunia ini.

Ia akan menjadi malang yang mutlak buat kita apabila ada agamawan tertentu yang gigih menyertu dosa di penjenayah yang berkenaan.


HARIS HAUZAH ialah pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).

Tulisan ini disalin dari siaran di Malaysiakini dan ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Kartelmedia.

Post a Comment

0 Comments