AHLI PARLIMEN Klang, Charles Santiago menyifatkan tindak tanduk Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang penuh emosi membela Najib Razak pasa satu taklimat diadakan parti itu sebagai usaha menyelamatkan dirinya sendiri.
Dipetik laporan media Charles turut berkata, Zahid cuba mempermainkan rakyat yang tidak faham mengapa Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan penerimaan bukti baru atau penangguhan dalam kes SRC International melibatkan Najib.
"Adakah ia hanya untuk membebaskan Najib? Tidak. Ini untuk menyelamatkan dirinya sendiri," kata Charles yang turut menuduh Zahid mencontohi manipulasi strategik Najib melalui media sosial.
"Kejayaan Najib memanipulasi media sosial telah menyukarkan orang biasa untuk mempercayai dia merompak wang dan dijatuhi hukuman penjara.
"Dan Zahid kini melakukan perkara yang sama," katanya.
Pada Sabtu, Zahid menghimpunkan ahli Umno untuk menyokong petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pengampunan untuk Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Berucap pada taklimat khas untuk ahli Umno itu, Zahid juga telah mengumumkan bahawa catatan Facebook Najib akan disiarkan sebagai senjata terhadap musuhnya.
Ahmad Zahid diarah oleh Mahkamah untuk membela diri atas 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana Yayasan Akalbudi (YAB).
Di Mahkamah Tinggi semalam, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa pertuduhan terhadapnya bermotifkan politik.
Memetik satu laporan media pada 17 Febuari lalu, Mahiaddin Yassin yang dilantik sebagai perdana menteri selepas kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) dijatuhkan mendakwa Ahmad Zahid dan Najib ada bertemunya bagi meminta campur tangan dalam kes mahkamah dihadapi mereka.
Muhyiddin berkata Ahmad Zahid melawatnya selepas dia dilantik sebagai perdana menteri dengan membawa ‘fail bertimbun’ yang merujuk kepada kes mahkamah dihadapi bekas timbalan perdana menteri itu.
Manakala Najib Razak menurut Mahiaddin ada meminta campur tangannya untuk menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa raya dalam kes mahkamah yang dihadapinya.
Najib kini ditempatkan di Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC international.
Sementara itu, Charles menggesa rakyat supaya tidak terpengaruh dengan taktik dilakukan pihak tertentu bagi membebaskan mana-mana pemimpin yang telah didapati bersalah.
"Satu perkara yang boleh kita lakukan untuk negara kita hari ini, ketika kita menghampiri Hari Merdeka adalah untuk memastikan tiada siapa yang berada di atas undang-undang dan tiada siapa boleh menahan negara ini untuk wang tebusan.Zahid menitiskan air mata kenang Najib
"Mari kita bersama-sama menentang taktik licik untuk membebaskan penjenayah yang disabitkan kesalahan," tegasnya.
0 Comments