Skandal LCS: BNS minta kontrak MRO bernilai RM53 bilion tahun lepas?


BEKAS Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong mendakwa kontraktor utama projek kapal tempur pesisir (LCS), Boustead Naval Shipyard (BNS) pernah meminta komitmen penyenggaraan kapal berkenaan dengan nilai RM53 bilion untuk tempoh 30 tahun.

Dipetik laporan media beliau turut mendakwa berdasarkan rekod, BNS juga pernah mencuba untuk menerbitkan sukuk bernilai RM4 bilion tanpa sebarang agaran atau jaminan bagi membiayai projek pembinaan kapal tersebut.

“Kami ingin memahami apa rancangan kewangan kerana dalam satu cadangan kepada kerajaan tahun lepas, BNS bercadang untuk sukuk bernilai RM4 bilion untuk diterbitkan.

"Bermakna BNS pergi ke pasaran sukuk untuk meminjam RM4 bilion bagi meneruskan LCS. Tetapi BNS tak ada apa yang boleh dicagarkan atau jaminan.

“Maka BNS meminta kerajaan supaya beri RM53 bilion order book, untuk kerajaan commit atau bersetuju untuk memberi kontrak MRO (perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) atau kontrak senggaraan kepada BNS selama 30 tahun,” katanya dipetik laporan Astro AWANI.

Sehubungan itu beliau mahu Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein supaya menjelaskan situasi kewangan BNS kepada Dewan Negara dan rakyat sekiranya syarikat itu masih mampu menghormati kontrak pembinaan kapal tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Chin Tong turut mahu sepuluh surat yang ditulis oleh bekas Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar kepada kerajaan berhubung isu LCS dinyahklasifikasikan.

Ia selari cadangan kabinet supaya laporan pengauditan forensik projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan serta laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan Dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berhubung kelemahan projek itu disiarkan kepada umum.

Chin Tong mahu Hishamuddin beri penjelasan


“Surat itu akan menjelas kenapa design Perancis atau Gowind-class tidak patut digunakan. Itu adalah salah satu sebab sejak awal projek ini mengalami masalah kerana pertukaran sistem.


“Pertukaran itu tidak dipersetujui oleh TLDM sendiri, dan mereka tidak dimaklumkan tentang pertukaran reka bentuk, sehinggalah mereka mendapat maklumat itu dari kontraktor, bukan dari Menteri atau Timbalan Menteri ketika itu,” katanya lagi.
 

Post a Comment

0 Comments