PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas menteri pertahanan Ahmad Zahid Hamidi supaya tampil memberikan penjelasan mengenai pembabitan mereka dalam skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) kepada rakyat.
Melalui satu perkongsian video di laman Facebooknya, Ketua Pembangkang di Parlimen itu menegaskan bahawa kes itu tidak boleh ditutup dengan mudah.
Justeru pihak terlibat termasuk Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein perlu tampil memberi penjelasan tentang sebab projek perolehan LCS bernilai RM 9 bilion dilakukan tanpa tender.
“Siapakah yang putuskan? Bekas perdana menteri Najib, bekas menteri pertahanan Zahid Hamidi serta Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein perlu menjawab persoalan ini.” katanya.
Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh berkata Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) mengabaikan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.
Wong berkata, tiada satu kapal pun yang berjaya disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek tersebut, yang dianugerahkan kepada BNS melalui tender terbuka.
Najib sebelum ini dipersoalkan peranannya dalam projek tersebut.
Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli mengandaikan Najib Razak sebagai individu yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi keputusan pilihan reka bentuk oleh Putrajaya berhubung projek itu.
Merujuk kepada tindakan menteri yang terlibat dan BNS mengetepikan pandangan pihak tentera laut berhubung reka bentuk kapal tegasnya memungkinkan wujudnya campur tangan politik dalam perolehan kapal tersebut.
“Satu-satunya pimpinan politik yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pertukaran reka bentuk kapal dan pada masa yang sama mempunyai sejarah hubungan dengan DCNS (melalui pembelian kapal Scorpene) ialah Najib Razak," tegasnya dalam kenyataan.
![]() |
Anwar mahu tahu kenapa projek dibuat tanpa tender |
Beliau turut mengalu-alukan langkah bekas Panglima Tentera Laut Abdul Aziz Jaafar yang pernah meluahkah kebimbangan mengenai isu projek LCS tetapi tidak diendahkan oleh ahli politik yang hanya mengutamakan kepentingan diri berbanding keperluan pertahanan negara.
0 Comments