Rakyat nikmat bila Umno-BN penat



Oleh: SHAHBUDIN HUSIN  | Berkatalah Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Najib Razak bahawa gabungan itu sudah penat menjadi pembangkang di Selangor.

Katanya lagi, siri kekalahan BN di Selangor yang dialami sejak 2008 lalu boleh ditamatkan jika mereka sedia menggunakan pendekatan yang fleksibel.

Berucap pada Konvensyen BN Selangor yang berlangsung di Shah Alam, Najib berkata, beliau kecewa kerana negeri itu – yang diterajui UMNO sehingga 2008 – diperintah oleh pentadbiran parti lain.

Untuk itu, tegas beliau, UMNO dan BN dari akar umbi hinggalah kepada pucuk pimpinan, semua perlu bersedia dengan jentera untuk melawan parti lawan.

“Ada cara yang fleksibel supaya kita boleh menang di Selangor,” ujarnya.

Bekas Perdana Menteri yang sudah disabitkan bersalah dalam kes SRC International itu mendakwa, pertumbuhan ekonomi di Selangor sejak Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih kerajaan negeri adalah lebih perlahan berbanding negeri lain.

Dalam pada itu, beberapa puak dalam UMNO dan PAS dikatakan mendesak agar BN dan PN bekerjasama di Selangor di sebalik hubungan tegang di antara kedua-dua gabungan tersebut di peringkat pusat dan negeri-negeri lain.

Bekerjasama dengan Pas dianggap langkah yang akan memudahkan untuk mengetepikan HARAPAN.

Dengan Najib mengatakan UMNO dan BN sudah penat jadi pembangkang, bermakna mereka mahu benar kepada kemenangan dalam PRU15 akan datang nanti.

Soalnya, mampukah mencapai impian itu?

Untuk makluman Najib dan semua pembesar UMNO, dalam soal untuk menawan semula Selangor ini, isu yang paling kritikal ialah siapakah pemimpin yang ditawarkan oleh UMNO dan BN untuk menerajui Selangor jika berjaya menjadi kerajaan?

Mampukah pemimpin yang ditampilkan itu menandingi Menteri Besar Selangor sedia ada, Amiruddin Shari dan barisan kepimpinan muda khususnya yang ada dalam KEADILAN?

Umno nak angkat siapa jadi MB kalau menang?
Yang nyata, selagi UMNO dan BN Selangor memiliki pemimpin seperti Noh Omar, Satim Diman dan lain-lain yang seangkatan dengannya, malah jika pemimpin pelapis yang cuba ditonjolkan pula adalah seperti Isham Jalil, jauh panggang daripada api untuk mereka berangan-angan dapat menjatuhkan HARAPAN.

Semua mereka itu hanya meletakkan UMNO dan BN terus penat sebagai pembangkang di Selangor.

Namun, dengan jadi pembangkang di Selangor, hanya pemimpin UMNO dan BN yang rasa penat, tetapi bagi rakyat secara umumnya, itulah nikmat. 

SHAHBUDIN HUSIN ialah penganalisis isu semasa, bekas wartawan di tahun 80an hingga 90an dan juga penulis buku.
 
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan ia tidak semestinya mencerminkan pendirian KartelMedia

Post a Comment

0 Comments