Dalam satu kenyataan disiarnya semalam, beliau mendakwa perjanjian tersebut sebenarnya telah “dimuktamadkan lebih awal” dengan Kumpulan Naval, syarikat Perancis yang sebelum ini dikenali DCNS sebelum kerajaan secara rasmi menandatangani perjanjian dengan Boustead Naval Shipyard Bhd (BNS) - syarikat yang dianugerahkan kontrak itu secara rundingan terus.
Bagi menguatkan dakwaan itu, Rafizi mendakwa beliau memiliki dokumen tender yang dibocorkan kepadanya dan "surat niat" daripada firma DCNS selain satu laporan oleh Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) iaitu pemilik BNS.
Walaupun tidak mendedahkan dokumen itu, beliau memberikan nombor rujukan dan tarikh dokumen-dokumen berkenaan.
Dalam laporan itu jelasnya, BHIC telah membuat kesimpulan bahawa sebut harga DCNS adalah "ditentukan terlebih dahulu" dan perkara itu adalah tidak wajar.
"Ini bermakna DCNS (sebagai sub-kontraktor) telah menerima maklumat penuh sebelum ini mengenai projek itu. Malah, DCNS telah pun mengemukakan dokumen tender dan surat niat walaupun sebelum BNS dilantik sebagai kontraktor utama," kata Rafizi.
DCNS merupakan syarikat yang sama yang menjual dua kapal Scorpene milik Malaysia pada 2002 yang juga pernah mengundang kontroversi.
Mengulas lanjut perkara itu, Rafizi berkata Keputusan menukar reka bentuk kapal tersebut berbanding dengan apa yang sebelumnya dikehendaki pihak tentera laut dapat dikaitkan dengan DCNS.
Tindakan menteri yang terlibat dan BNS mengetepikan pandangan pihak tentera laut berhubung reka bentuk LCS tegasnya memungkinkan wujudnya campur tangan politik dalam perolehan kapal tersebut.
“Sebab itu saya nyatakan sebelum ini bahawa bekas perdana menteri, Najib Razak tidak boleh lari dan cuci tangan dalam skandal ini.
“Satu-satunya pimpinan politik yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pertukaran reka bentuk kapal dan pada masa yang sama mempunyai sejarah hubungan dengan DCNS (melalui pembelian kapal Scorpene) ialah Najib Razak.
![]() |
Rafizi tunggu jawapan dari Najib |
"Kedua, mempunyai rekod peribadi yang memilih DCNS (dan rakan sekutu DCNS iaitu Thales) untuk projek-projek besar negara. Selain projek kapal selam Scorpene dan kapal LCS, Thales juga mencetuskan kontroversi dalam tahun 2012 apabila terbabit dalam skandal anugerah projek LRT kepada George Kent.
"Saya menunggu bagaimana Najib Razak akan menjawab persoalan-persoalan ini," kata Rafizi.
Pada 4 Ogos, laporan PAC mengenai LCS menunjukkan bahawa Kementerian Pertahanan pada mulanya memilih reka bentuk Sigma untuk LCS pada Mei 2011 tetapi dua bulan kemudian ia memutuskan untuk menukar kepada reka bentuk Gowind daripada DCNS.
0 Comments