PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi disiasat polis berhubung ucapannya dalam taklimat khas kepada akar umbi Umno di Kuala Lumpur, Sabtu lepas.
Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, ACP A Skandaguru, berkata siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman susulan 12 laporan polis diterima terhadap ucapan oleh presiden Umno itu yang antara lain menyentuh Badan Kehakiman Negara.
“Siasatan ke atas Ahmad Zahid dilakukan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu pengunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Setakat ini pihak polis telah menerima sebanyak 12 laporan polis dan siasatan masih dijalankan,” kata Skandaguru dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Pengarah Biro Mobilisasi parti Amanah, Mohd Sany Hamzan, membuat laporan polis terhadap kenyataan Ahmad Zahid ketika beliau berucap semasa taklimat khas itu.
Mohd Sany mendakwa ucapan Ahmad Zahid secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak. Zahid disiasat dibawah Akta Hasutan
Klip video dan teks ucapan Ahmad Zahid dalam taklimat itu tersebar di media sosial.
Zahid dalam acara yang dilihat sebagai majlis soidariti kepada Najib itu dilapor memberi amaran bahawa perbicaraan kes rasuah SRC International melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak bakal dirujuk sebagai contoh perbicaraan tidak adil oleh negara Komanwel.
0 Comments