PN nak tarik sokongan sebab Ismail tak lantik TPM dari Bersatu?


PERIKATAN NASIONAL (PN) dilapor sedang menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Difahamkan, perkara itu dibangkitkan gabungan itu susulan tindakan Ismail Sabri Yaakob tidak menunaikan janji untuk melantik ahli parlimen dari parti Bersatu sebagai timbalan perdana menteri (TPM), kata The Star dalam laporannya.

Menurut laporan itu lagi, mesyuarat MPT Bersatu pada Selasa lalu "secara umumnya setuju" yang sokongan terhadap Ismail Sabri perlu ditarik jika dia tidak boleh dirunding agar menunaikan persetujuan yang telah dicapai.

Beberapa pemimpin Bersatu sebelum ini menuntut bukan sahaja jawatan TPM, malah mendesak Ismail untuk penggantian Zuraida Kamaruddin dalam Kabinet setelah Ahli Parlimen Ampang itu mengumumkan untuk meninggalkan parti itu.

Malah tidak berpuas hati dengan beberapa perkara lain termasuk dakwaan kerajaan pimpinan Naib Presiden Umno itu menyekat dana kepada ahli politik Bersatu.

Laporan itu juga mendakwa beberapa tokoh dalam Bersatu kecewa mereka disingkirkan daripada jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dipegang sebelum ini.

Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainuddin baru-baru ini berkata PN memutuskan untuk menghantar delegasi untuk menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat

Ismail Sabri dilaporkan dijadual bertemu delegasi PN semalam berhubung perjanjian itu. Namun ia dibatalkan di saat akhir, kata Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menurut laporan.

Delegasi PN merangkumi Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Azmin Ali, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.

Seorang Bersatu dalam laporan FMT hari ini  menafikan dakwaan PN  akan menarik sokongan terhadap  Ismail.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman,  berkata laporan The Star sebagai “tidak betul” dan “provokatif”.

Tindakan Bersatu menuntut jawatan TPM baru-baru ini dikritik banyak pihak.

Apa jadi pada Ismail jika PN tarik semula sokongan
Seorang pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Mahfuz Omar menyifatkan tindakan Perikatan Nasional (PN) itu sendiri sudah memperlihatkan kegagalan mereka untuk berjuang membela nasib rakyat.

Dalam keadaan rakyat sedang bergelut dengan isu ekonomi, pemimpin politik terutama dari Bersatu tegasnya tidak seharusnya memikirkan jawatan atau kedudukan bagi memenuhkan tembolok mereka sendiri. 



Post a Comment

0 Comments