Mahu penjelasan k'jaan lepas Meta buat dakwaan mengejutkan


KERAJAAN didesak memberi penjelasan segera berhubung pendedahan syarikat teknologi Meta yang mengaitkan polis dengan usaha memanipulasi perbincangan awam di negara ini melalui “troll farm” bagi tujuan strategik.

Ketua Penerangan KEADILAN, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Biro Media Sosial DAP Syahredzan Johan masing-masing mengemukkan tuntutan itu susulan laporan Quarterly Adversarial Threat Report oleh syarikat induk bagi Facebook dan Instagram itu.

Menyifatkan dakwaan syarikat antarabangsa itu sebagai sesuatu yang besar, Fahmi mahu pihak polis tampil menafikan perkara itu.

“Ini adalah satu dakwaan yang berat daripada syarikat teknologi gergasi antarabangsa, maka pihak polis perlu nafikan dakwaan ini kerana sudah pastinya dakwaan ini adalah tidak benar.

“Andai dakwaan ini benar, dari mana datangnya bajet selain adakah sebarang wang pembayar cukai digunakan dan diluluskan di Parlimen?” soal Fahmi.

Semalam Meta dalam laporannya berkata bahawa pihaknya memadamkan 596 akaun Facebook, 180 halaman, 11 kumpulan (group) dan 72 akaun Instagram yang sebahagian daripada "Troll Farm" yang mensasarkan pengguna media sosial di negara ini kerana melanggar dasar koordinasi perlakuan tidak sahih.

Meta berkata, individu di sebalik akaun, halaman dan kumpulan mengendalikan “troll farm” – usaha koordinasi yang ditempatkan bersama bertujuan merosak dan memanipulasi wacana awam dengan menggunakan akaun palsu untuk mengelirukan orang ramai berhubung siapa di belakang mereka.

“Walaupun mereka yang berada di sebalik tabir cuba untuk berselindung identiti dan koordinasi, siasatan kami mendapati wujud kaitan dengan polis Malaysia,” kata syarikat itu seperti dilapor media.

Sementara itu dipetik FMT, Meta mendedahkan modus operandi akaun itu yang juga aktif di TikTok dan Twitter, di mana mereka menghantar “meme” dalam bahasa Melayu sebagai sokongan kepada gabungan kerajaan sedia ada.

Dalam masa sama mendakwa wujudnya penyelewengan terhadap pengkritiknya.

Di Facebook, jaringan ini menguruskan halaman, termasuk menyamar sebagai entiti berita bebas dan memuji polis sambil mengkritik pembangkang.

“Tipikalnya, aktiviti hantaran dipertingkat ketika hujung minggu dan ketika rehat tengah hari. Akaun palsu mereka tidak sepenuhnya dibangunkan dan sebahagian lagi mencuri gambar profil,” kata laporan itu.

Meta juga mendakwa sejumlah USD6,000 (hampir RM26,740) dibelanjakan bagi iklan di Facebook dan Instagram, yang dibayar terutama dalam ringgit dipercayai bagi mempromosikan halaman dan kumpulan "troll farm' itu.

Sementara itu  Syahredzan dalam kenyataannya  mempersoalkan sama ada dana awam digunakan dalam aktiviti tersebut.

Troll Farm didakwa kawal  narratif wacana awam
“Sekiranya benar, ia mendedahkan suatu usaha bersepadu untuk memanipulasi perbincangan awam dengan menggunakan akaun-akaun dan laman-laman palsu bagi manfaat politik pihak kerajaan,” katanya yang turut mengandaikan wujudnya kegiatan sama dijalankan di platform media sosial lain.

Sementara itu dalam perkembangan terbaharu, polis menafikan dakwaan itu dan sedang mengumpul maklumat lanjut mengenainya.

“Polis memandang serius laporan Syarikat Meta Platforms Incorporated mengenai dakwaan akaun palsu,” kata Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan.

Post a Comment

0 Comments