Najib tak jawab isu komisen 200 peratus

 


Oleh: RAFIZI RAMLI | Saya telah mendedahkan bagaimana projek kapal perang LCS menggunakan dua lapis subkontraktor (iaitu CAD dan CED) sehingga menyebabkan kos naik tiga kali ganda (kos sebenar dari DCNS hanya RM397 juta tetapi yang dituntut dari kerajaan oleh subkontraktor adalah RM1.2 bilion).

Seperti yang diduga, Dato’ Seri Najib Razak dengan cepat menjawab bahawa subkontraktor Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) adalah syarikat-syarikat bersekutu LTAT.

Beliau langsung tidak menjawab isu komisen 200% yang saya timbulkan, cukup sekadar membayangkan dia tidak terbabit dalam skandal ini kerana subkontraktor CAD dan CED adalah syarikat-syarikat bersekutu LTAT.

Berikut adalah latar belakang pembabitan LTAT (melalui Boustead) di dalam CAD:

• Anak syarikat LTAT, Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) meluluskan pembelian saham 51% di dalam CAD pada 28 April 2010. 49% lagi saham CAD dimiliki oleh Rheinmetall Air Defence AG (RAD), sebuah syarikat kontraktor pertahanan dari Jerman yang dipegang melalui anak syarikat milik penuhnya RD Investment AG.

• Keputusan untuk membeli saham majoriti CAD itu dibuat di dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah BHIC bertarikh 28 April 2010, iaitu setahun setengah sebelum Kerajaan Malaysia melantik BNS menjadi kontraktor membangun dan membina 6 kapal perang LCS melalui satu surat lantikan (LOA) bertarikh 16 Disember 2011.

• Dalam perjanjian pembelian 51% pegangan dalam CAD bertarikh 13 Ogos 2010 di antara BHIC (melalui anak syarikatnya) dan RAD (melalui anak syarikatnya), BHIC bersetuju bahawa RAD yang mempunyai kawalan pengurusan (“management control”) ke atas CAD, walaupun CAD dimiliki secara majoriti oleh BHIC.

• Pengerusi Lembaga Pengarah BHIC yang bersetuju dengan keputusan tidak masuk akal ini adalah Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, bekas Ketua Pegawai Eksekutif LTAT yang diketahui umum cukup rapat dengan Najib Razak.

Ini adalah satu tindakan yang tidak masuk akal. Dalam mana-mana aturan syarikat yang mempunyai dua pemegang saham berbeza, kawalan pengurusan dipegang oleh pemegang saham majoriti.

Sebab itu saya sebut, berdasarkan semua bukti setakat ini, ia membayangkan ada perancangan tersusun dari awal untuk memastikan penyelewengan di dalam projek LCS ini dapat disembunyikan melalui pelbagai transaksi rumit, termasuk mewujudkan dua lapisan subkontraktor sedangkan BNS boleh saja menguruskan projek ini dengan sendiri.

Akibat dari keputusan tidak masuk akal itu, CAD hanya dimiliki oleh Boustead (dan LTAT) atas kertas sahaja. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO), dua jawatan pengurusan paling penting di dalam CAD dipersetujui dilantik oleh RAD (bukannya Boustead/LTAT). CEO CAD adalah Gordon Hargreave yang mewakili RAD.

Selain dari mengawal pengurusan CAD, wakil-wakil RAD juga diberi kuasa menandatangani cek dan meluluskan perbelanjaan tanpa perlu merujuk kepada wakil BHIC di dalam CAD. Laporan siasatan dalaman ke atas kelewatan projek LCS secara jelas menyebut perkara-perkara berikut:

Pendedahan baru timbulkan lebih banyak persoalan
• Kedua-dua wakil RAD iaitu Luitjen Rolf Ennega (kemudian ditukar dengan Frank Hoffmann) dan Gordon Hargreave adalah dua orang penandatangan cek dalam kumpulan had kuasa (“Limits of Authority”) yang sama. Ini bermakna, untuk meluluskan sesuatu perbelanjaan atau membuat pembayaran, mereka berdua boleh menurunkan tandatangan tanpa perlu mana-mana wakil dari BHIC.

• Laporan menyebut “This gave an absolute authority to RAD to handle the finances of CAD despite BHIC holding 51% shares” yang bermaksud “Ini memberi kuasa penuh kepada RAD untuk mengendalikan urusan kewangan CAD walaupun BHIC memegang saham majoriti 51%”.

Lebih teruk lagi, BHIC memberi alasan RAD perlu dibawa masuk untuk mendapatkan kepakaran mereka dan membolehkan pemindahan teknologi dalam menjayakan projek LCS ini.
 
Kenyataan Media

RAFIZI RAMLI
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat

Post a Comment

0 Comments