Dipelawa bertanding di Tambun, tapi Anwar kenang 'kawan' di PD


PRESIDEN
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai kepercayaan diberi kepadanya untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bercakap dalam satu sidang media semalam, Anwar yang kini merupakan Ahli Parlimen Port Dickson berkata, cadangan berkenaan telah diusulkan kepadanya namun keputusan belum lagi boleh diputuskan.

Selain daripada gesaan ramai supaya beliau kekal di Port Dickson, Anwar berkata bahawa tumpuan parti ketika ini adalah berkaitan jumlah kerusi dan jentera pilihan raya terlebih dahulu.

“Anda fikir macam mana? Kalau anda kata boleh, saya akan fikirkan. Ia satu cadangan yang sedang saya pertimbangkan.

“KEADILAN bahagian Tambun ada usulkan, namun saya belum putuskan lagi. Kawan-kawan di Port Dickson pula merayu minta saya kekal di sana. Saya kena fikir dahulu,” katanya.

Anwar berkata begitu pada sidang media selepas mengadakan
pertemuan dengan semua Ketua Cabang KEADILAN negeri Perak hari ini bagi memuktamadkan urusan pelantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Hasil pertemuan itu,  Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang dilantik sebagai Pengerusi MPN bagi penggal  2022-2025.

Sementara itu difahamkan, Ketua KEADILAN Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad sebelum ini dilaporkan mahu memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi Parlimen itu , malah keputusan tersebut telah dipersetujui di peringkat akar umbi menerusi Mesyuarat Agung Tahunan bahagian yang diadakan sebelum ini.
 
Kerusi itu kini disandang menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu yang memenangi kerusi itu dibawah tiket Pakatan Harapan (HARAPAN) mewakili Bersatu pada PRU lalu.

Untuk rekod, prestasi Anwar sebagai Ahli Parlimen di Port Dickson sejak dipilih mewakili rakyat kawasan itu pada Oktober 2018 boleh dibanggakan.

Seawal 4 bulan menjadi Ahli Parlimen kawasan itu, Bekas Timbalan Perdana Menteri itu melancarkan ‘Rencana Induk Port Dickson’, sebuah program pembangunan komprehensif khusus bagi menangani pelbagai permasalahan berkaitan isu alam sekitar dan setempat.

Pasa 2019, sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi Projek Mesra Rakyat melibatkan 61 projek di Port Dickson.

Peruntukan itu melibatkan 17 projek kerja-kerja menaik taraf gelanggang sukan, 15 projek membina dan menaik taraf sistem perparitan serta 13 projek menaik taraf dan membina kemudahan asas seperti tempat letak kereta dan baik pulih bangunan.

Selain itu, projek menaik taraf jalan-jalan kampung dan membina jalan baharu melibatkan sembilan projek manakala kerja-kerja menaik taraf balai raya dan dewan orang ramai melibatkan tujuh projek turut dijalankan.

Anwar bawa pembangunan di Port Dickson
Malah Anwar berusaha membawa pelaburan dengan pembangunan Lexis Hibiscus 2 yang mampu meningkatkan potensi lokasi pelancongan selain mampu mewujudkan peluang pekerjaan buat warga tempatan.

Bagi manfaat penduduk setempat, Anwar turut menempatkan dua buah sekolah di Port Dickson sebagai sekolah angkat oleh syarikat gergasi Jepun NEC (NEC Corporation), menjalankan inisiatif pembersihan pantai dan menaik taraf jeti nelayan serta kawasan ternakan kupang.

Post a Comment

0 Comments