Amanah serah memorandum, mahu RCI siasat skandal LCS


BIRO Mobilisasi Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan memorandum kepada Istana Negara bagi mendesak penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
 
Pengarahnya, Sani Hamzan berkata, memorandum berkenaan telah diserahkan kepada Ketua Komunikasi Korporat Istana Negara, Datuk Muzli Mohd Zin pada pagi khamis.

Amanah menggesa penubuhan RCI itu susulan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan perolehan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion  yang bermula pada 2011 tidak pernah siap walaupun RM6 bilion telah dibelanjakan.

Sementara itu menurut Sani, pendedahan PAC jelas menunjukkan kepincangan aset ketenteraan negara pada tahap rendah kerana kegagalan semua LCS dipersiapkan mengikut jadualnya.

"RCI ini bukan sahaja diperlukan untuk mengembalikan keyakinan warga TLDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi seluruh rakyat jelata yang bimbang dan resah akibat pendedahan projek ini," katanya pada sidang akhbar di hadapan pintu masuk Istana Negara.

Sementara itu beliau turut menegaskan bahawa  isu berkenaan bukan sahaja melibatkan kos besar tetapi telah memalukan dan mengugat kedaulatan negara.

Malah ia juga jelasnya telah menyebabkan kegusaran di kalangan rakyat.

"Ini sudah tentu membimbangkan dan mengusarkan rakyat kerana melibatkan soal berkaitan kedaulatan, pertahanan dan keselamatan negara.
 
"Mengambil kira Laporan PAC termasuklah beberapa surat daripada mantan Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar dan sebelum diteruskan beberapa syor-syor daripada kerajaan Persekutuan seperti pelan pemulihan projek LCS dan juga penubuhan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas adalah sewajarnya atas nasihat Yang di-Pertuan Agong agar segera ditubuhkan RCI supaya isu seperti itu tidak akan berulang lagi di masa hadapan," katanya.

Terdahulu, Abdul Aziz Jaafar menyuarakan rasa kesal apabila tegurannya mengenai tatacara perolehan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) tidak diendahkan Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Boustead Naval Shipyard (BNS) yang merupakan kontrak pembinaan kapal itu.

Skandal LCS libatkan kedaulatan negara
Memetik kenyataan, Abdul Aziz yang ketika itu memegang jawatan sebagai Panglima TLDM mengemukakan sekurang-kurangnya 10 surat teguran dan rasa tidak puas hati serta pendirian TLDM berhubung isu berkenaan.

Surat rasmi berkenaan diberikan kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Setiausaha Negara dan Perdana Menteri yang memegang jawatan pada ketika itu.

Post a Comment

0 Comments