Najib dibidas kerana tuduh HARAPAN 'tengok saja' kegagalan LCS

NAJIB RAZAK dibidas susulan kenyataannya yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) “tengok sahaja” dan “membisu” ketika kapal tempur pesisir (LCS) pertama gagal diserahkan pada 2019.

Melalui satu kenyataan bersama oleh bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan timbalannya Liew Chin Tong menegaskan bahawa mereka telah mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), yang menyiasat projek bermasalah itu dalam mesyuarat pertama Jemaah Menteri HARAPAN pada 30 Mei 2018.

Susulan itu jelas mereka, Pengerusi JKSTUPKK, Ambrin Buang telah membentangkan penemuan berhubung projek LCS kepada kementerian pada 20 Ogos 2019.

“Pada 11 Feb 2020, wakil JKSTUPKK terdiri daripada Ambrin, Mohamad, Liew, Panglima Angkatan Tentera (ketika itu) Ariffin Buang, Panglima Tentera Laut, Reza Sany memberi taklimat kepada Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad,” menurut mereka.

Daripada langkah diambil, perdana menteri ketika itu, memutuskan beberapa langkah menangani isu membabitkan LCS.

Ia antaranya dengan memastikan membawa mereka yang melakukan kesalahan dapat dibawa ke muka pengadilan,  merombak pasukan pengurusan BNS dan memberi suntikan dana bagi memulihkan projek yangd ianggap sebagai 'sakit' itu.

“Kementerian Pertahanan diarah membentang kertas Jemaah Menteri dalam masa terdekat. Malangnya, apa yang dirancang tidak berlaku berikutan Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan HARAPAN.

“Kerajaan HARAPAN telah membuat keputusan mengenai hala tuju projek ini pada Februari 2020 berpandukan cadangan JKSTUPKK, namun kerajaan jatuh pada bulan tersebut juga.” kata mereka lagi.

Mohamad dan Liew berkata, kemajuan projek itu turut mendedahkan bahawa pada Januari 2018 projek itu hanya mencapai kemajuan 50.15% , sedangkan ia sepatutnya mencapai 70% siap ketika itu.

Pada Januari 2020, projek itu hanya siap 56.39% berbanding 82.41% seperti dijadualkan.

Sementara itu tambah mereka berkata, jaminan Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein bahawa LCS pertama yang dibina Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) akan siap dalam setahun dua lagi “tidak realistik” kerana reka bentuk terperinci yang sepatutnya dimuktamadkan pada November 2016 hanya siap kira-kira 80% ketika itu.

Langkah Sheraton henti usaha selamatkan projek LCS
Menurut mereka, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Muez Abdul Aziz pada 27 Sept 2021, memaklumkan PAC, selepas BNS menyiapkan reka bentuk terperinci itu, Naval Group memerlukan sekurang-kurangnya 12 bulan dari tarikh pembayaran dibuat untuk menyiapkan pengesahan sebagai “design authority”.

“Proses reka bentuk adalah proses yang paling penting dalam pembinaan LCS. Tanpa reka bentuk lengkap yang diluluskan oleh kedua-dua Naval Group dan Bureau Veritas, projek LCS tidak dapat diteruskan dan sebarang status siap kerja yang lain adalah tidak bermakna,” tambah mereka.

Post a Comment

0 Comments