KEADILAN kekal tanding semua kerusi dimenangi PRU lalu - Fahmi


PARTI Keadilan Rakyat (KEADILAN) telah membuat keputusan untuk bertanding di semua kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2018 lalu, kata Ketua Penerangannya, Fahmi Fadzil.

Dipetik laporan media, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, rundingan mengenai hal berkaitan pembahagian kerusi di parlimen-parlimen itu tidak akan dibincangkan dengan parti lain dalam gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Kita fokus pada kerusi yang KEADILAN menang. Kita akan tanding semula di kerusi yang kita menang (PRU 2018)," jelasnya.

Antara kerusi yang bakal dikekalkan untuk ditandingi KEADILAN adalah termasuk kerusi Parlimen  Ampang, Gombak, Tebrau, Batu Pahat dan Segamat yang dimenangi  mereka namun wakil rakyatnya keluar parti pada Februari 2022 dan menyertai Bersatu.

Sementara itu, Fahmi turut memberitahu bahawa perbincangan kerusi dalam HARAPAN kini tertumpu kepada 52 kerusi yang sebelum ini ditandingi Bersatu.

“Apakah prinsip yang akan kita pegang untuk pembahagian kerusi, termasuk juga di Sabah dan Sarawak. Proses ini masih berjalan walaupun ada yang uar-uarkan Oktober ini dijangka pilihan raya umum.

“Saya lihat perbincangan semakin rancak dalam kalangan pimpinan dan tidak mustahil dalam masa terdekat, kita akan buat pengumuman yang bersesuaian,” katanya dipetik.

Mengulas mengenai kerjasama bersama parti lain dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Fahmi yang juga pengarah komunikasi HARAPAN menegaskan bahawa gabungan itu masih belum membincangkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang lain.

KEADILAN fokus pertahan kerusi dimenangi


Menurut Fahmi, perbincangan berkenaan masih terlalu awal memandangkan HARAPAN masih belum membuat sebarang keputusan mengenai rundingan kerusi.


Dipetik laporan lain, Fahmi tidak menolak kemungkinan membuka ruang kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk menjadi sebahagian gabungan mereka, bagaimanapun soal itu belum lagi diputuskan.

Post a Comment

0 Comments