Cuba 'salah guna' proses mahkamah, Najib dikritik Badan Peguam

 



TINDAKAN Najib Razak dan peguamnya berhubung rayuan kes SRC International di Mahkamah Persekutuan dikritik Badan Peguam Malaysia.

Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn dipetik laporan media berkata, tindakan Najib menukar peguam boleh dianggap penyalahgunaan proses mahkamah dan mencemarkan nama baik sistem kehakiman, selain peguam yang terlibat perlu berdepan tindakan tatatertib.

Katanya, meskipun Najib berhak menggugurkan peguamnya dan melantik peguam baru, namun dengan berbuat demikian, ia bermakna mengambil risiko bahawa mahkamah mungkin tidak membenarkan penangguhan, sementara pasukan peguam baru mengambil alih kes tersebut.

“Keputusan untuk menukar peguam pada saat akhir ketika ini adalah dari dia sendiri.

"Oleh itu, sebarang ketidakadilan yang didakwa olehnya, sekiranya ada, disebabkan dirinya sendiri (self-inflicted),” katanya.

Pada penghujung Julai lalu, Najib menggugurkan pasukan peguam yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah dan melantik firma Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners bagi mewakilinya.

Pasukan peguam baru itu kemudian memohon untuk menangguhkan rayuan selama beberapa bulan bagi membuat persediaan, namun ditolak oleh mahkamah.

Najib kemudiannya menggugurkan peguam dari firma Zaid , manakala Hisyam Teh Poh Teik yang sebelum ini cuba menarik diri tetapi tidak mendapat kebenaran mahkamah kekal sebagai peguam utamanya.

Masalah berpunca dari tindak tanduk Najib sendiri
Sementara itu Cheah menegaskan bahawa amalan undang-undang menetapkan bahawa peguam tidak seharusnya menerima sebarang kes,terdapat dua peraturan yang jelas menyatakan bahawa seseorang peguam mesti bersiap sedia dan membuat penilaian sebelum memutuskan sama ada boleh mengambil kes tersebut.

“Kewajipan utama kepada mahkamah, menghormati pentadbiran keadilan, dan menegakkan martabat profesion undang-undang, harus ada dalam diri semua peguam,” katanya, memetik Peraturan 6(a) dan 24(a) Kaedah-kaedah Profesion Undang-undang (Amalan dan Etika) 1978.

Post a Comment

0 Comments