Abdul Hadi dinasihat jangan pancing undi dengan fitnah


PRESIDEN Pas, Abdul Hadi Awang dinasihatkan agar tidak lagi menggunakan sentimen agama dan bangsa untuk 'menghalalkan' fitnah kepada musuh politiknya.
 
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh melontar gesaan itu ketika membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Marang itu semalam yang didakwa secara melulu membuat kenyataan yang memberi imej buruk kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Abdul Hadi tidak seharusnya bermain dengan sentimen yang sensitif seperti itu, ia hanya merugikan orang Melayu,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada Khamis.

Terdahulu pada selasa, Pengarah Mobilisasi Amanah Sany Hamzan mengesa supaya laporan polis seluruh negara dibuat terhadap Abdul Hadi susulan tuduhan mendakwa HARAPAN cuba merungkai perlembangaan negara ketika memerintah 22 bulan.

Abdul Hadi yang dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri dibawah kerajaan pimpinan Mahiaddin Md Yassin dalam ucapannya turut mendakwa HARAPAN mencabar Islam dan hak keistimewaan orang Melayu.

Dakwaan itu dilihat dijadikan alasan oleh Abdul Hadi bagi merasionalkan tindakan partinya bekerjasama dengan Bersatu bagi 'mengambil' alih kerajaan melalui 'langkah Sheraton' pada 2020.

Malah dia turut menyifatkan pengundi yang memilih calon HARAPAN sehingga gabungan itu akhirnya dapat membentuk kerajaan sebagai 'orang Islam yang jahil agama'

“Saya kesal apabila Presiden Pas dalam ucapannya sempena pelancaran Perikatan Nasional (PN) peringkat Terengganu di pekarangan Masjid Rusila, antaranya menyebut kerajaan HARAPAN semasa memerintah mahu merungkai Perlembagaan Malaysia, mencabar Islam dan keistimewaan orang Melayu.

“Ini merupakan fitnah yang dilemparkan oleh seorang ulama dalam Pas, mudahnya beliau lontar kata-kata menyerang HARAPAN dengan fakta tidak sahih.

“Sebenarnya beliau mahu menutup kelemahan Pas sendiri yang bersekongkol dengan UMNO dan Bersatu merampas kuasa menerusi Langkah Sheraton. Apakah Abdul Hadi sudah lupa percaturan politik yang mereka lakukan sehingga kerajaan HARAPAN tersungkur?” soal Ismail.

Sementara itu Ismail turut mengingatkan Abdul Hadi bahawa rakyat kini telah lebih bijak membuat penilaian, justeru tiada guna mengaburi pandangan pengundi dengan fitnah.

Tak perlu fitnah, rakyat dah pandai menilai
“Ini antara fakta yang ingin saya bangkitkan semula, ia bukan fitnah. Pada tahun 80-an, fatwa Abdul Hadi melabel orang UMNO kafir, sebaliknya sekarang mereka ‘berpeluk’ mesra.

“Pada tahun 2008, Pas sertai Pakatan Rakyat (PR) bersama dengan DAP. Selepas itu, pada 2015, Pas kata DAP jahat pula. Anda nilai sendiri kedudukan Pas dan agendanya,” katanya lagi.


Post a Comment

0 Comments