TPP dakwa Najib terdesak, cuba burukkan Hakim Mohd Nazlan


BEKAS
Presiden Umno, Najib Razak didakwa melakukan percubaan terdesak untuk membatalkan keseluruhan perbicaraan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.
 
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata begitu berhubung tindakan Najib membangkitkan dakwaan tidak berasas terhadap Hakim Nazlan Mohd Ghazali melalui affidavit sokongan lanjutan dikemuka Najib dalam permohonannya untuk mendapatkan perisytiharan bahawa perbicaraan SRC batal dan tidak sah serta memohon mahkamah menimbangkan supaya diadakan perbicaraan semula.

Tambah Ashrof, konflik kepentingan membabitkan hakim itu seperti yang didakwa Najib sepatutnya boleh dibangkitkan ketika perbicaraan, tetapi bekas perdana menteri itu memilih untuk tidak berbuat demikian kerana isu berkenaan adalah tidak sah.

Malah ketika perbicaraan, Najib menurutnya membuat pengakuan bahawa tiada dakwaan rasuah terhadap hakim itu, tetapi hanya sama ada wujudnya konflik kepentingan apabila Nazlan mendengar perbicaraan kes terbabit.

Sebagai rekod, Nazlan ketika merupakan Hakim Mahkamah Tinggi telah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib setelah mendapati Ahli Parlimen Pekan itu bersalah terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Sementara itu tambah Ashrof, dakwaan pembabitan Nazlan dalam kapasiti sebelumnya sebagai ketua kaunsel dan setiausaha syarikat Kumpulan Maybank dalam pinjaman RM140 juta kepada Puncak Perdana Sdn Bhd dan RM4.17 bilion kepada 1MDB adalah tidak dibuktikan dan sangkaan semata-mata.

“Dalam apa jua keadaan, keterangan yang didakwa adalah tidak relevan kepada pertuduhan yang dihadapi oleh pemohon (Najib) dalam rayuan ini. Tujuan sebenar (dokumen berhubung dakwaan konflik kepentingan) dikemukakan, iaitu satu dokumen yang tidak bernilai, adalah untuk memburukkan Mohd Nazlan pada pendapat umum sebelum pendengaran permohonan ini,” katanya.

Affidavit Najib dianggap tiada nilai
Justeru tegasnya, kenyataan Najib berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Nazlan dipenuhi skandal yang bertujuan mencemarkan nama baik Nazlan sebagai hakim perbicaraan.

“Pengetahuan Najib yang dikatakan sebagai pengetahuan peribadi mengenai siasatan SPRM adalah tidak benar kerana SPRM sebagai agensi penguatkuasaan bebas tidak akan mendedahkan maklumat rahsia berhubung siasatan yang masih berjalan,” katanya.

Pada 8 Dis tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Abdul Karim Abdul Jalil menolak rayuan Ahli Parlimen Pekan itu yang mendorong beliau membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari bermula 15 Ogos ini untuk mendengar rayuan terakhir Najib terhadap sabitan serta hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan terhadapnya.

Post a Comment

0 Comments