Tak sempurna, namun RUU anti lompat parti permulaan baik - Anwar


RANG UNDANG-UNDANG
(RUU) berkenaan antilompat parti yang dibentangkan kerajaan di Dewan Rakyat semalam tidak sepenuhnya memenuhi kreteria ditetapkan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika perbahasan mengenainya berkata, walaupun tidak dapat bersetuju dengan keseluruhan usul dikemukakan, namun ia dianggap sebagai suatu permulaan yang bermakna dan bersejarah.

"Ia satu percubaan untuk mengelakkan ke arah tendency authoritarianism apabila seseorang yang berkuasa atau (ada) cubaan untuk membolot kuasa secara tipu helah.

“Kerana kesannya bukan sahaja dari segi undang-undang perlembagaan tetapi pengertian moral, integriti ahli Parlimen yang tidak dianggap sebagai penjual maruah dan khianat kepada amanah,” katanya.

Ketua Pembangkang itu sebelumnya membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti di Dewan Rakyat pada Rabu.

“Kalau ini dibenarkan berlaku, orang yang 'maha kaya' dan 'maha berkuasa' boleh menentukan corak kerajaan semata-mata (dengan) wang ringgit mereka, ataupun kerana kuasa yang ada pada mereka dan janji politik yang tak ada honour (maruah)

“Kalau Yang Berhormat kaji daripada Wikipedia, Malaysia terus naik di antara negara yang melahirkan ahli-ahli Parlimen tidak berprinsip dan khianat serta boleh menggadai prinsip mereka seperti apa yang berlaku dalam 'Langkah Sheraton,” katanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Port Dickson ini menambah, pindaan perlembagaan ini berlaku kerana ada kesilapan besar di dalam sistem dan semua pihak mengakuinya.

“Ada lompongan dalam sistem yang membolehkan ahli-ahli politik itu jadi bahan dagangan dijual dengan harga atau kedudukan.

“Dan ini saya katakan sekali lagi menyebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terutama orang muda terhadap ahli politik dan sistem politik,” tegasnya.

Penting untuk keyakinan rakyat dikembalikan
Menurutnya, adalah penting dalam gerak kerja bersama bagi memulihkan keyakinan rakyat terutamanya golongan muda.

“Memulihkan keyakinan ini dengan menekankan bahawa segala pengkhianatan atau rasuah diambil tindakan secara serius,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments