Tukar peguam untuk tangguh kes bertentangan etika, kata Haniff Khatri

 


SEORANG Peguam Kanan menegaskan bahawa strategi menukar peguam semata-mata untuk menangguhkan sesebuah kes perbicaraan adalah bertentangan dengan prinsip dan etika pengamal undang-undang.

Dipercayai merujuk tindakan bekas Presiden Umno, Najib Razak yang semalam dilapor memberhentikan khidmat peguam Muhammad Shafee Abdullah dan peguam daripada firma Tetuan Shafee & Co  dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menjelaskan bahawa perkara itu terkandung dalam Peraturan Majlis Peguam dan Kaedah Profesion Undang-Undang (Praktis dan Etika) 1978 yang digubal di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Dipetik laporan sinar, Mohamed Haniff turut berkata, berdasarkan Kaedah 6 di bawah Kaedah Amalan Guaman akta tersebut antara lain mengatakan seseorang peguam tidak boleh mengambil arahan guaman baharu melainkan dia sudah bersedia untuk menghadiri mahkamah.

“Jadi berpandukan kaedah ini, Mahkamah Persekutuan boleh bertanya kepada peguam kenapa dia bersetuju untuk mengambil kes yang tarikh perbicaraannya telah ditetapkan.

“Jadi peguam tidak boleh katakan kepada mahkamah yang dia tidak bersedia untuk mengambil kes kerana masih belum bersedia kerana baharu sahaja mengambil alih kes,” katanya pada Selasa.

Terdahulu, Najib dilapor melantik pasukan baharu dari Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) bagi menggantikan Tetuan Shafee & Co bagi mewakilinya dalam rayuan akhir kes dihadapinya itu.

Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama dan Liew Teck Huat serta Rueben Mathiaravanam, sebagai peguam bersama.

Susulan perubahan dalam barisan peguam pembelaan, Najib turut memohon untuk menangguhkan pendengaran rayuan akhir kes di Mahkamah Persekutuan atas alasan barisan peguam baharu dilantik mengambil alih kes rayuan berkenaan.

Sementara itu jelas Mohamed Haniff, hakim boleh memakai prinsip disebutkannya itu dalam menggunakan budi bicaranya ketika memberikan keputusan terhadap sesuatu permohonan penangguhan.

Namun tambahnya, jika hakim menolak permohonan penangguhan maka semua pihak harus menerima keputusan tersebut dan tidak boleh mengatakan ia sebagai tidak adil kerana ia dibuat berdasarkan kepada prinsip perundangan dan kehakiman.

Penangguhan terpulang pada budi bicara hakim
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta dan memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dipenjara 12 tahun dan didenda sebanyak RM210 juta.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini menetapkan 10 hari bermula 15 hingga 26 Ogos ini untuk rayuannya. 

Post a Comment

0 Comments