TIMBALAN PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli menanggapi Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Annuar Musa sebagai seorang yang bongkak.
Rafizi berkata begitu sebagai merujuk kenyataan Ahli Parlimen Ketereh itu yang memperlekeh cadangan pemotongan gaji dan elaun menteri serta timbalan yang dilontar beberapa pihak susulan inflasi dan kenaikan harga barang yang membebankan rakyat ketika ini.
Menurut bekas Ahli Parlimen Pandan itu lagi, Annuar perlu sedar bahawa desakan agar menteri-menteri mengambil potongan gaji adalah perlambangan isyarat bahawa menteri-menteri di negara ini gagal menjalankan tugas masing-masing bagi menguruskan ekonomi sehingga kenaikan harga barang tidak terkawal serta menekan orang awam.
Langkah itu juga satu bentuk solidariti yang boleh ditunjukkan menteri-menteri bahawa mereka sensitif terhadap kepayahan yang ditanggung.
"Pemotongan gaji menteri menghantar isyarat bahawa menteri-menteri juga tidak terkecuali daripada langkah penjimatan yang diarahkan kepada penjawat-penjawat awam.
"Jika tidak peruntukan awam dipotong tetapi menteri-menteri tetap menikmati kemewahan yang sama," katanya Rafizi.
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Rafidah Aziz sebelum ini melontar cadangan supaya gaji menteri dipotong sebagai tanda empati kepada rakyat yang bergelut dengan keadaan semasa ekonomi.
Tuntutan serupa turut dibuat peserta yang membantah kenaikan harga barang dalam protes yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Walau bagaimanapun Annuar dalam kenyataannya meminta pengkritik tidak bermain politik dalam isu itu, malah mencabar mereka supaya menamakan negara yang berjaya menurunkan kadar inflasi setelah melaksanakan langkah seumpama itu.
Sementara itu kata Rafizi, walaupun Annuar berpendapat tiada negara yang berjaya menangani isu inflasi dengan memotong gaji menterinya, namun pemimpin Umno itu terlupa sesuatu.
Di negara selain Malaysia tegas Rafizi, layanan yang diberikan rakyat kepada menteri yang gagal menguruskan ekonomi dan menyusahkan orang ramai jauh lebih keras berbanding memotong gaji.
"Ada yang dipecat, ada yang didakwa, ada yang dipenjarakan," katanya.
Sehubungan itu Rafizi mengajak lebih ramai pemimpin dan orang ramai mendesak agar menteri di negara ini mengambil potongan gaji sebagai langkah menguruskan "keangkuhan" Annuar.
![]() |
Rafizi sifatkan Annuar Musa pemimpin bongkak |
"Kegilaan ini perlu dihentikan. Hanya melalui desakan rakyat yang ‘kena’ pada poket menteri, barulah mereka sedar terhadap keutamaan (urgency) untuk mengambil tindakan dengan lebih cepat," kata Rafizi lagi.
0 Comments