Charles buat laporan polis, dakwa bekas AG cuba 'bersihkan' Najib

 


SATU laporan polis difailkan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago terhadap bekas peguam negara (AG) Mohamed Apandi Ali.

Melalui satu kenyataan beliau mendakwa Mohamed Apandi melakukan salah guna kuasa bsgi menutup siasatan kes penyelewengan dana berkaitan SRC International dan 1MDB dengan niat untuk melepaskan bekas perdana menteri Najib Razak daripada berdepan pertuduhan rasuahnya.

Beliau membuat dakwaan itu dengan memetik penghakiman 23 Mei yang disampaikan oleh hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar dalam menolak saman fitnah yang difailkan oleh Apandi terhadap pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

"Dalam penghakimannya, Azimah menyatakan bahawa delegasi Apandi “tidak berjumpa mahupun bercakap dengan pihak yang didakwa sebagai penderma” walaupun berkata sebaliknya pada sidang media pada 26 Jan 2016.

“Pada sesi akhbar itu, Apandi mengumumkan delegasi telah ke Riyadh dan berjumpa dengan pihak yang dikatakan penderma,” kata Charles.

Sebagai rekod, Azimah dalam penghakiman setebal 100 muka surat yang dikeluarkan pada 21 Julai menyatakan bahawa adalah sangat jelas bahawa Apandi menunjukkan sikap tidak berminat dan ada kala memberi kenyataan bertentangan dalam keterangannya.

Kata hakim itu lagi, Apandi tidak kisah terhadap kedaulatan undang-undang yang asas dan malah akal yang wajar (common sense).

"Mengapa bekas peguam negara mengisytiharkan kepada dunia yang delegasi bertemu penderma (dan mendapatkan pengesahan daripadanya), walaupun dia tahu yang delegasinya tidak bertemu atau bercakap pun dengan (penderma)?

"Mahkamah benar-benar bingung dengan keterangan plaintif yang mengakui mengambil naratif derma secara keseluruhannya, walaupun tanpa bukti langsung dan lebih cenderung kepada bukti khabar angin delegas.

"Di situ jelas keterangan Apandi sendiri menunjukkan sikap tidak berminat, mengelak dan berlepas diri (disassociate) untuk menyiasat derma dengan lebih lanjut," kata Azimah dipetik laporan media.
 
Berdasarkan pertimbangan dan pemerhatian Azimah, Charles berkata beliau berpendirian bahawa Apandi telah mereka-reka maklumat dan berbohong semasa memegang jawatan, yang membawa kepada penyalahgunaan kuasanya sebagai penasihat undang-undang utama negara.

"Dia kemudiannya membersihkan Najib daripada sebarang salah laku, dan mengesahkan bahawa RM42 juta dalam akaun Najib adalah derma daripada seorang putera Arab Saudi. Ini adalah pembohongan terang-terangan.

Charles mahu Apandi disiasat
“Saya dengan ini membuat laporan polis ini supaya siasatan boleh dimulakan terhadap Apandi," kata ahli parlimen DAP itu.

Peguam John Fam, yang menemani Charles, menegaskan bahawa komen Azimah dibuat berdasarkan keterangan Apandi dan kenyataan itu yang diberikan di bawah sumpah dan oleh itu tidak akan disalah sebut.

Justeru beliau menegaskan Apandi telah mereka bukti untuk membersihkan Najib.

Post a Comment

0 Comments