Beri jaminan RUU -ALP diteruskan sekalipun Parlimen bubar - Hassan Karim

 


SEORANG Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa supaya kerajaan memberi jaminan bahawa rang undang-undang (RUU) anti-lompat parti akan digubal.

Hassan Karim (HARAPAN-Pasir Gudang) ketika membahaskan undang-undang berkenaan itu hari ini menyuarakan kebimbangan Parlimen akan dibubarkan sebelum RUU itu dapat diluluskan.
 
“Adakah cukup masa untuk meluluskan RUU itu di kedua-dua Dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara), selain menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diberikan perkenan diraja?” soalnya.

Sehubungan itu tegas Hassan, Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar wajar memberi jaminan bahawa pembubaran Parlimen tidak akan menghalang undang-undang itu digubal.

Terdahulu hari ini, Ismail berkata, Parlimen boleh dibubarkan bila-bila masa selepas 31 Jul ini.

Ia susulan kerajaan memutuskan untuk tidak melanjutkan memorandum persefahaman yang ditandatangani dengan HARAPAN pada September lalu.

 RUU Anti Lompat Parti mesti diluluskan
Memorandum persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara lain menekankan  pelaksanaan pendaftaran umur minima pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilihan dan penggubalan undang-undang anti lompat parti.

Ia juga menyatakan pilihan raya umum tidak boleh diadakan sebelum 31 Jul. Ini turut bererti Parlimen tidak boleh dibubarkan sebelum tarikh itu.