RANG UNDANG-UNDANG (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti telah diluluskan di Dewan Rakyat semalam selepas bacaan kali ketiga.
Ia diluluskan menerusi undi belah bahagi dengan 209 ahli parlimen mengundi menyokong dan tiada menentang. 11 Ahli Parlimen tidak hadir ketika undian itu.
Pembentangan RUU itu merupakan salah satu syarat utama memorandum persefahaman (MoU) antara perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Dengan pindaan tersebut, Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka bertindak keluar parti atau tidak lagi menjadi ahlinya. Namun, Ahli Parlimen yang dibuang parti tidak akan hilang kerusi.
Ahli parlimen juga tidak akan hilang kerusi jika parti mereka dibubarkan atau bergabung dengan parti lain, atau jika mereka keluar parti untuk menjadi speaker Dewan Rakyat.
Bagi Ahli Parlimen yang menang dengan tiket bebas pula, mereka yang kemudiannya menyertai sesebuah parti atau menjadi anggota gabungan akan kehilangan kerusi.
Semasa sesi perbahasan, Shamsul Iskandar Mohd Akin (HARAPAN-Hang Tuah Jaya) menyifatkan RUU itu sebagai “kemenangan untuk rakyat” dan berharap ia akan membawa kepada lebih ramai pengundi keluar mengundi pada pilihan raya umum akan datang.
“(Undang-undang ini akan menjadi) penamat kepada mereka yang berniat untuk mengkhianati rakyat,” katanya semasa perbahasan sambil menambah RUU itu adalah hasil positif kerjasama antara kerajaan dan HARAPAN.
Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) pula dipetik laporan FMT berharap undang-undang itu dapat menamatkan trend lompat parti di Sabah sejak sekian lama.
“Sebagai orang Sabah, cukuplah dengan lompat-lompat (parti) ini. Sabah akan terus ketinggalan kerana lompat parti hanya menguntungkan pelompat dan bukannya rakyat,” katanya.
![]() |
Lompat parti ibarat racun kepada demokrasi |
Setelah RUU itu mendapat kelulusan kedua-dua dewan, ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan di antara 11 hingga 26 Ogos 2022 untuk diperkenankan.
Pewartaannya pula dijangka dibuat di antara 29 Ogos hingga 2 Sept ini.
0 Comments