KERAJAAN Negeri Sembilan yang dipimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak akan berkompromi terhadap tindakan yang boleh mencemarkan sumber air di negeri itu.
Menteri Besar Aminuddin Harun berkata, atas pendirian itu kerajaan negeri akan menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Air 1920 bagi mengatasi isu pencemaran sungai termasuk mengenakan kompaun maksimum RM250,000 kepada mana-mana individu yang merosakkan sumber air.
Bercakap selepas merasmikan mesyuarat Exco, Aminuddin menjelaskan peruntukan undang-undang tersebut akan dikeluarkan Badan Kawal Selia Air (BKSA) dalam masa terdekat bagi memastikan masyarakat mematuhi sepenuhnya prosedur kawalan air dan penguatkuasaan peraturan berkenaan.
“Negeri lain dah bermula antaranya Johor dan Melaka, tetapi kita di Negeri Sembilan, kita mulakan tahun ini, walaupun lewat atas sebab tertentu.. beberapa tahun lepas ada berlaku kes pencemaran sumber air di negeri ini tetapi tidak dapat diambil tindakan sepenuhnya.
“Jadi dengan adanya undang-undang ini akan membolehkan kita menjalankan kompaun atau denda kepada mereka yang menyalahgunakan serta merosakkan sistem air di negeri ini,” katanya dipetik.
Aminuddin berkata pada tahun lepas, sebanyak lapan kes melibatkan pencemaran air berlaku di negeri ini termasuk melepaskan air cucian daripada ladang ayam dan perlombongan pasir berhampiran tebing sungai.
![]() |
Langkah jamin bekalan air bersih untuk rakyat |
“Kita juga sedang menyiapkan makmal dan ada pegawai daripada Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd untuk membantu mengenal pasti kesalahan dilakukan oleh mana-mana pihak,” katanya.
Difahamkan melalui penguatkuasaan itu pesalah yang melakukan pencemaran air, akan diberi notis amaran sebanyak dua kali sebelum BKSA mengeluarkan kompaun.
0 Comments