Pemilihan 2022 sengit, namun tak cetus permusuhan tajam - Anwar

 


PEMILIHAN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang baru berakhir pada Mei lalu tidak menjejaskan parti seperti pemilihan sebelum ini, tegas Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata, pemilihan itu telah diterima ahli dengan mengekal semangat untuk mempertahankan idealisme terutama setelah ia dijalankan secara telus, bebas dan adil.

Lebih penting menurutnya, pemilihan itu walaupun sengit, namun ia tidak mencetuskan sebarang ‘permusuhan’ yang ketara.

“Memang, kalau ada persaingan tentu ada penyokong masing-masing, ada kekuatan, ada kelemahan masing-masing. Yang penting ia tidak mencetuskan permusuhan yang tajam berbanding pengalaman 2018 yang lalu . Ia boleh meredakan,” katanya menerusi rakaman video semalam.

Anwar berkata begitu melalui rakaman wawancara yang akan disiarkan secara bersiri menerusi portal rasmi kerajaan Selangor dan YouTube Selangor TV mulai 13 hingga 15 Julai ini.

Pada pemilihan Mei lalu, seramai 1,118,423 ahli KEADILAN layak mengundi dan 11,282 calon menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan di peringkat pusat, cabang dan sayap.

Anwar berjaya mengekalkan jawatan sebagai presiden bagi tempoh 2022/2025 selepas menang tanpa bertanding manakala bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi jawatan timbalan presiden.

Keputusan pemilihan itu turut menampilkan empat Naib Presiden yang menang iaitu Datuk Seri Amirudin Shari, Chang Lih Kang, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Jawatan Ketua Wanita PKR dimenangi Fadhlina Sidek dan timbalannya, Juwairiya Zulkifli manakala tiga naib ketuanya, Wasanthee Sinnasamy, June Leow Hsiad Hui dan Sangetha Jayakumar.

Ketua Angkatan Muda Keadilan pula dimenangi Adam Adli Abd. Halim dan timbalannya, Muhammad Kamil Munim serta tiga naib ketua disandang oleh Atyrah Hanim Razali, Pravin Murali dan Prasanth Kumar Brakasam.

Semalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memaklumkan telah menerima keputusan rasmi Pemilihan 2022 Keadilan seperti mana yang diumumkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) parti itu pada Selasa lalu.

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas selepas MPP diberi taklimat penuh oleh firma audit forensik berhubung dapatan audit lengkap bagi Pemilihan 2022.

Anwar gembira pemilihan berjalan secara bebas
“Berdasarkan perbincangan dan pembentangan penuh malam tadi, MPP mengambil maklum bahawa sistem ADIL yang dibangunkan adalah suatu sistem dengan integriti yang utuh.

“Walaupun begitu, firma audit forensik memperakui wujud beberapa kelemahan pada peringkat pelaksanaan sistem tersebut.

“MPP menerima penjelasan penuh firma audit forensik bahawa langkah-langkah bersesuaian untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan tersebut telah diambil,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Post a Comment

0 Comments