K'jaan dikritik lepas lantik orang politik sebagai Pesuruhjaya Suhakam


KERAJAAN dikritik susulan pelantikan beberapa individu ke jawatan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengingatkan kerajaan bahawa suruhanjaya itu tidak harus dijadikan sebagai hanya ghanimah perang.

Beliau merujuk pelantikan individu didakwa Timbalan Ketua Umno Bahagian Selayan Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican dan Ketua Wanita Umno Kulim Bandar Baharu, Nazira Abdul Rahim ke jawatan itu untuk sesi 2022 hingga 2025.

Menyifatkan pelantikan individu itu dibuat tanpa merit, Salahuddin berkata kedua-dua mereka tidak pernah dikenal mempunyai pengalaman praktikal dalam hak asasi manusia.

Bekas menteri itu bimbang ia akan menjejaskan integriti Suhakam sebagai sebuah badan berkanun yang diamanahkan untuk menasihati kerajaan Malaysia dalam merumuskan perundangan, arahan dan tatacara pentadbiran agar selari dengan prinsip hak asasi manusia.

Beliau menambah bahawa pelantikan Pesuruhjaya Suhakam haruslah telus, inklusif dan hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar faham dan mempunyai pengalaman praktikal tentang hak asasi manusia.

“Komposisi barisan Pesuruhjaya yang baru juga tidak mencerminkan kepelbagaian latar belakang sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta Suhakam 1999.

“Sekiranya Perdana Menteri benar-benar jujur dan mahu mempertahankan hak asasi manusia, kenapa tidak dilantik juga Pesuruhjaya dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU), Orang Asli serta bilangan yang seimbang di antara kaum serta umur?

“Jangan jadikan jawatan Pesuruhjaya SUHAKAM sebagai hanya ghanimah perang kepada ahli akademik, peguam dan tokoh masyarakat yang menyokong dan mesra kerajaan tanpa melihat kepada merit mereka,” kata Naib Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) itu dalam kenyataan.

Selain Hasnal Rezua Merican dan Nazira, turut dilantik sebagai anggota Suhakam ialah Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Dr Chew Chee Ming (Sarawak), Datuk Mary@Mariati Robert (Sabah) dan Ragunath Kesavan.

Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan pakar perundangan dan hak asasi manusia dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad sebagai Pengerusi Suhakam.

Asalnya isu pelantikan itu dibangkitkan Ahli Parlimen Klang.

Charles Santiago yang menyifatkan pelantikan itu sebagai paling teruk dalam sejarahnya berkata, pelantikan politik hanya akan melemahkan kepercayaam orang ramai terhadap Suhakam.

Walaupun tidak secara keras menentang ahli politik menjadi pesuruhjaya, tetapi paling tidak tegasnya, mereka mesti mempunyai rekod komitmen dalam isu hak asasi.

Bimbang kepercayaan rakyat akan luntur


“Ahli parti politik akan mempunyai bias tertentu dan (mereka) takkan mahu menentang ketua mereka. Pertimbangan bagaimana yang akan mereka buat?' soalnya sambil menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membatalkan pelantikan baharu pesuruhjaya yang aktif dalam politik dan menggantikannya dengan individu yang bersifat lebih neutral.


Keputusan melantik individu yang didakwa aktif dalam politik itu turut menarik perhatian seorang bekas diplomat.

Noor Farida Ariffin dipetik laporan FMT berkata, pelantikan individu yang mempunyai kaitan dengan politik dan agama akan menjadi malapetaka bagi Suhakam, yang tidak lagi dilihat sebagai badan yang menegakkan hak asasi untuk rakyat Malaysia.

Post a Comment

0 Comments