Sulu saman K'jaan: Pemuda Amanah dakwa fakta Najib terpesong

 


BEKAS Perdana Menteri, Najib Razak didakwa cuba menipu rakyat dan cuba menuduh pihak lain bertanggungjawab dalam isu membabitkan saman oleh waris kesultanan Sulu.

Pemuda AMANAH Nasional menerusi kenyataan media mendakwa hantaran Facebook laman Najib Razak pada 13 Mac, 12 Julai tidak tepat dan menimbulkan kerisauan masyarakat.

Antara penipuan fakta yang dilakukan oleh Najib adalah:

1. Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Peguam Negara Tommy Thomas telah mengambil tindakan ‘luar biasa bodoh’ dengan mengeluarkan surat bertarikh 19.9.2019;

2. Saman timbangtara waris Sulu telah dimulakan pada 2019 sebaik sahaja Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran Malaysia;

3. Waris Sulu telah menunggu sehingga 2018 sewaktu kerajaan bertukar tangan daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan untuk memulakan saman ke atas Malaysia;

4. Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak melawan kes di timbangtara tersebut; dan

5. HARAPAN telah menyebabkan kedaulatan Sabah hilang dan Malaysia perlu membayar RM63 bilion.

Bagi menjawab dakwaan Ahli Parlimen Pekan itu, pemuda Amanah mengemukakan tujuh fakta berkenaan kes saman dikemukakan waris kesultanan Sulu itu.

Mereka menegaskan kausa tindakan saman waris Sulu tersebut adalah berpunca daripada tindakan Perdana Menteri tahun 2013, Najib Razak, yang mengambil keputusan menghentikan bayaran ‘penyerahan hak’ kepada waris Sulu selepas insiden pencerobohan Lahad Datu;

2. Kerajaan Najib Razak juga gagal mengambil langkah susulan yang teratur selepas menamatkan pembayaran tersebut dengan cara mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi untuk membatalkan dan mencabar Deed 1878 dan 1903 sebagaimana yang pernah dicadangkan oleh mendiang Ahli Parlimen Jelutong, Karpal Singh;

3. Saman waris Sulu telah pun dimula di timbangtara Madrid pada Disember 2017, sebelum Pakatan Harapan mentadbir Malaysia;

4. Kerajaan Najib Razak juga gagal menghantar sebarang peguam ke prosiding perlantikan penimbangtara pada Februari 2018 dan menyebabkan Dr Stampa dilantik sebagai penimbangtara secara sebelah pihak;

5. Peguam Negara Tommy Thomas dalam surat 2019 tersebut telah berkali-kali menegaskan bahawa waris Sulu tidak berhak untuk membawa sebarang pertikaian di mana-mana tempat timbangtara. Apa-apa pertikaian yang berbangkit daripada Deed 1878 dan 1903 perlulah diputuskan oleh bidangkuasa yang tepat iaitu Mahkamah Malaysia;

6. Tawaran membayar wang tertunggak bayaran ‘penyerahan hak’ tersebut adalah dibuatkan berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Borneo Utara 1939.

Penghakiman tersebut masih mengikat tindakan Malaysia, memandangkan kerajaan Najib Razak pada tahun 2013, 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tidak pernah sekalipun mengambil tindakan undang-undang untuk membatalkan Deed 1878 dan 1903 serta mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Borneo 1939 tersebut; dan

Fakta terakhir dikemuka Pemuda Amanah ialah Peguam Negara semasa dan kerajaan semasa juga tidak pernah menyatakan terdapat sebarang salah laku oleh pentadbiran Pakatan Harapan berkaitan dengan isu saman waris Sulu ini.

“Kenyataan Najib jelas tidak bertanggungjawab dan telah menyebabkan berlaku kekeliruan fakta, provokasi ke atas pihak lain dan malah merendah-rendahkan tindakan yang diambil oleh Pejabat Peguam Negara pada 2019.

“Tindakan Najib Razak melalui hantaran-hantaran Facebook tersebut sudah tentu berniat jahat dan bertujuan untuk merosakkan reputasi pihak lain serta dibuat dengan kebarangkalian tinggi untuk menutup kesilapan, kekurangan dan peninggalan pentadbiran beliau yang telah membawa kepada masalah kini…,” tegas Pemuda AMANAH Nasional seperti dilapor Malaysiadateline.

Isu tuntutan oleh waris kesultanan Sulu mula hangat apabila Financial Times yang berpangkalan di London melaporkan tindakan pewaris kesultanan Sulu merampas dua anak syarikat gergasi minyak Malaysia Petronas yang diperbadankan di Luxembourg melalui proses undang-undang.

Proses saman dimulakan pada zaman Najib
Pewaris kesultanan Sulu menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dari Malaysia sebagai tindak balas kepada tindakan Malaysia memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.

Petronas melalui satu kenyataan media walau bagaimanpun menjelaskan bahawa kedua-dua anak syarikat itu, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan kesemua aset di Republik Azerbaijan dan hasil daripada pelupusan berkenaan telahpun dipulangkan (“repatriated”) dengan sewajarnya.

 






Post a Comment

0 Comments