Semoga 'pengkhianat' masuk 'liang lahad politik' - Fahmi Fadzil


KETUA PENERANGAN
Parti Keadilan Rakyat ( KEADILAN) Fahmi Fadzil menyatakan harapan supaya 11 wakil rakyat yang 'mengkhianati' parti itu sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan masuk ke dalam ‘liang lahad politik’ apabila Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dikuatkuasakan.

Dalam ucapan pada program Jelajah Harapan Selangor di Sungai Buloh pada Sabtu, Fahmi merujuk RUU tersebut akan mula dibahaskan di Dewan Rakyat minggu ini yang akan menjadi akta yang akan menghalang wakil rakyat yang melompat parti daripada ‘terus hidup’.

“Apa rang undang-undang ini? Ia adalah rang undang-undang yang akan menjadi akta menghalang katak-katak politik daripada terus hidup. Katak-katak politik seperti di Gombak, Ampang, Selangau, Batu Pahat, Segamat.

“Hari ini Ahli Parlimen Segamat dia keluar nak masuk parti lain. Tak tahu nak pergi mana. Akhirnya saya harap dia masuk ke liang lahat politik.

“Dia buat sekarang sebab minggu depan sudah ada akta dia sudah tidak boleh lompat. Bila dia lompat dia akan kehilangan kerusi. Sekarang ini dia masuk parti Zuraida pun kita tak tahu dia boleh menang ke tidak. Good luck to youlah,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Santhara yang meninggalkan KEADILAN bersama dalam kem Azmin Ali ketika insiden 'Langkah Sheraton' pada Febuari 2020 sebelum ini menyertai parti Bersatu pimpinan Mahiaddin d Yassin.

Namun dia dilaporkan akan menyertai Parti Bangsa Malaysia pimpinan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang sebelum ini dikenali sebagai 'orang kuat' Azmin.
 
“Minggu ini insya-Allah kalau kita lulus rang undang-undang lompat parti maka kita ucapkan kepada katak-katak politik inna Lillahi wa inna ilayhi raji’un. Selamatlah kamu di alam barzah politik. Stay there.

“Rakyat pun tak nak kamu. Yang penting rakyat hendakkan satu perubahan yang total. Rakyat hendak satu keadilan yang menyeluruh. Maka apa yang akan berlaku di Parlimen insya-Allah kita akan menyaksikan perkara ini,” kata Fahmi.

Rakyat tak mahu wakil rakyat khianat
Difahamkan kelulusan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di Parlimen merupakan antara syarat utama di dalam Perjanjian Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) antara HARAPAN dan Kerajaan Ismail Sabri Yaakob.

Akta itu bagi menghalang wakil rakyat daripada berpindah parti sehingga boleh menyebabkan sesebuah kerajaan yang dibentuk tumbang seperti yang berlaku ke atas Kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.

Post a Comment

0 Comments