Nurul Izzah pilu kenang nasib anak jati Kampung Iboi

 


NAIB PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Nurul Izzah Anwar menggesa supaya  Penyahhutanan di Gunung Inas, Baling, Kedah dihentikan.

Melalui satu hantaran di laman Facebooknya pada Ahad, beliau menegaskan bahawa langkah itu perlu bagi memastikan tragedi banjir lumpur seperti yang berlaku baru-baru ini tidak berulang.

Namun beliau turut mengingatkan bahawa kesungguhan politik diperlukan bagi merealisasikan usaha itu.

"Penyahhutanan boleh mengakibatkan banjir lumpur ketika hujan lebat. Atas sebab itulah, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bertegas mengatakan bahawa banjir di Baling ini disebabkan oleh penyahhutanan untuk projek musang king di Gunung Inas, Baling.

"Penyahhutanan beserta perubahan iklim yang ekstrem akan menjadikan banjir kilat jauh lebih serius berbanding sebelumnya. Jangan biarkan tragedi berulang tanpa kesungguhan politik menanganinya," katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Terdahulu, Nurul Izzah berkongsikan gambar lawatannya ke Kampung Iboi, Baling yang terkesan teruk dalam insiden banjir awal Julai lalu.

Beliau turut mendedahkan banyak pihak sebelum ini telah melontarkan bantahan kepada kerja-kerja penyahhutan bagi projek penanaman Musang King di kawasan itu.
 
"Sudah berulang kali gesaan dan amaran yang diberikan oleh penduduk kampung, pencinta alam dan badan bukan kerajaan (NGO)," jelasnya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut berkongsi rasa pilu mendengar luahan hati Abdul Rahman Said, 71, yang juga anak jati Kampung Iboi, Baling.

"Cukup sakit di hati dengan kejadian tersebut umpama dicucuk sembilu. Encik Abdul Rahman kehilangan ketiga-tiga ahli keluarga semasa tragedi kepala air di kampung tersebut.

Penduduk setempat dikatakan sudah beri amaran
"Sudah berkali-kali beliau memberi amaran kepada kerajaan negeri supaya hentikan penebangan hutan di Gunung Inas tetapi usaha beliau diabaikan," tambahnya.

Dalam tragedi banjir lumpur itu, Abdu Rahman kehilangan tiga ahli keluarga termasuk isteri tercinta, Salmah Mat Akib, 53; anak bongsu, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, dan menantunya, Nurul Anis Abu Hassan, 28, yang sedang mengandung empat bulan.


 

Post a Comment

0 Comments