Negara boleh bankrap jika tuntutan Sulu dipenuhi, kata Ahli Parlimen

 

NEGARA boleh bankrap jika tuntutan waris Kesultanan Sulu sebanyak AS$14.92 bilion atau RM62.59 bilion berjaya perolehi, tegas Ahli Parlimen Pasir Gudang.

Hassan Abdul Karim yang merupakan bekas Pengerusi KEADILAN Johor dalam kenyataan berkata, isu tuntutan Sulu perlu diambil serius kerana ancaman itu adalah ugutan yang nyata yang sudah menjadi isu global.

Justeru kerajaan apabila berdepan ancaman kedaulatan wilayah dari musuh yang berada di luar negara tidak boleh mengambil pendekatan politik sempit untuk faedah domestik.
 
"Kedaulataan Malaysia sekarang sudah jadi buah mulut dan dijaja di tribunal timbang tara dan mahkamah antarabangsa di Eropah. Isu ini sekarang bukan isu meriam, senapang dan peluru. Ia kini sudah jadi isu perundangan antarabangsa.

"Mereka tidak boleh kata ini kesalahan kerajaan HARAPAN yang lalu. Begitu juga bekas-bekas Perdana Menteri dan menteri-menteri HARAPAN tidak boleh melepaskan tanggungjawab mereka dan berkata hal ini bukan salah mereka tetapi ini kecuaian Najib Razak dan kerajaan BN terdahulu," katanya.

Beliau turut menyatakan pandangan bahawa dalam menghadapi musuh yang sama, maka ada strategi yang perlu dipakai, tidak kira siapa kerajaan sedang mentadbir Malaysia sekarang maka semua pihak, rakyat dan parti-parti politik perlu bersatu menghadapi isu tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap harta kerajaan Malaysia di luar negara.

"Bukan harta milik Petronas sahaja sedang dituntut dan diugut, tetapi harta-harta Malaysia yang lain juga.

"Kenapa waris Kesultanan Sulu memilih harta milik Petronas? Jawapannya, pertama kerana Petronas banyak harta di seluruh dunia. Kedua, kerana jenama atau 'branding' Petronas dikenali di seantero dunia dalam perlumbaan kereta F1 yang bersifat global itu. Imej Petronas sangat dikenali di planet bumi," ujarnya.

Katanya, apa yang perlu diteliti ialah apakah tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang yang dibantu oleh jemaah menteri secara tanggungjawab bersama atau kolektif.

Isu tuntutan Sulu perlu diselesaikan bersama
"De facto Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Peguam Negara, Idris Harun bersama Perdana Menteri dan kabinet memikul tanggungjawab di baris hadapan untuk menghadapi tuntutan waris Kesultanan Sulu dari sudut perundangan antarabangsa. Buat masa ini di Mahkamah Perancis," katanya petik laporan Sinar Harian.

Sementara itu beliau turut menzahirkan pandangan usul tuntuan waris Kesultanan Sulu perlu dibahaskan di Parlimen kerana isu itu menyentuh kedaulatan negara.
 

Post a Comment

0 Comments