Rasmi: Rafizi menang timbalan, Adam Adli Ketua AMK, Fadlina ketua Wanita


BEKAS Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli secara rasmi disahkan menang jawatan timbalan presiden baru parti itu.
 
Kiraan rasmi terakhir menunjukkan Rafizi memenangi saingan dengan majoriti 16,668 undi mengatasi Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Saifuddin Nasution Ismail.

Keputusan rasmi juga mengesahkan bahawa empat naib presiden yang dipilih ialah (mengikut susunan kronologi), Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.
 
Dalam satu kenyataan, pengarah jawatankuasa pemilihan parti (JPP) PKR Zaliha Mustafa mengakui bahawa audit forensik telah menemui percubaan menggodam oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mempengaruhi keputusan pemilihan.

Bagaimanapun, firma audit telah mencadangkan supaya keputusan itu dibersihkan - yang dijalankan oleh jawatankuasa itu mengikut penemuan analisis digital.

“Namun perkara tersebut telah dikenal pasti dan pakar audit telah memberi cadangan untuk mengemas kini rekod pengundian.

“Proses pemutihan telah dilaksanakan berdasarkan keputusan analisa digital tersebut,” katanya dalam kenyataan sambil menegaskan ia tidak banyak menjejaskan keputusan majoriti calon sama ada di peringkat pusat atau bahagian.

JPP akui ada usaha godam keputusan
Sementara itu, keputusan rasmi juga memaparkan Adam Adli Abdul Halim menang jawatan ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK)

Manakala bagi jawatan ketua Wanita pusat yang sebelum ini dimenangi Rodziah Ismail secara tidak rasmi, berubah kepada pencabarnya yang juga Ahli Dewan Negara, Senator Fadlina Sidek.
 
JPP telah membentangkan semua keputusan rasmi pemilihan itu dalam laman sesawang https:\\pemilihankeadilan2022.com.

Post a Comment

0 Comments