Khalid dakwa pasukan khas tangani inflasi hanya 'lakonan'


 

AHLI PARLIMEN Shah Alam, Khalid Samad mengkritik pasukan khas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menangani inflasi dengan menyifatkannya sebagai “lakonan”.

Pada himpunan bagi membantah kenaikan harga barang yang diadakan baru-baru ini, Khalid yang juga pengarah komunikasi parti Amanah berkata, tidak masuk akal apabila barisan Kabinet membincangkan masalah yang diciptanya sendiri, melalui dasar diputuskan kerajaan termasuk dengan penarikan subsidi.

“Kenaikan harga barang adalah hasil daripada dasar yang ditetapkan oleh kerajaan. Lalu kamu (kerajaan) tubuhkan taskforce diketuai oleh anggota yang merupakan punca kepada masalah ini.

“Sepatutnya sebelum dibuat keputusan untuk nak tarik balik subsidi dan sebagainya, tubuhkan jawatankuasa dulu, bincang dulu.

“Ini bila kamu dah timbulkan masalah, kamu berlakon untuk selesaikan masalah. Sedangkan masalah itu kamu juga yang timbulkan. It doesn't make sense (tak masuk akal),” katanya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Pada 29 Jun, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kabinet memutuskan untuk menubuhkan pasukan petugas khas yang akan ditugaskan mengumpul maklumat daripada semua kementerian, agensi dan orang ramai berkaitan bagi merangka dan menyelaras strategi bagi menyelesaikan isu berkaitan inflasi.

Pasukan petugas khas itu diketuai Annuar serta beberapa anggota kabinet iaitu Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Penubuhan 'task force' itu turut dikritik Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mempersoalkan kewajaran penubuhannya yang dibimbangi hanya akan berakhir dengan pembaziran.

"Sampai tiga 'task force' termasuk Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) kemudian Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang semuanya memainkan peranan dan fungsi yang sama.

"Yang terbaharu ini dengan keanggotaannya adalah orang yang sama. Saya berfikir apa lagi idea baru yang boleh diperolehi daripada 'task force' ini sedangkan dua sebelum ini tidak nampak idea yang boleh gerakkan usaha yang lebih baik," katanya dipetik laporan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dipengerusi Annuar Musa.

  Umno berlakon selesaikan masalah dicipta mereka ?
Sementara Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membidas kerajaan kerana kelewatan mereka bertindak mengekang peningkatan harga barang.

Presiden KEADILAN itu dalam satu acara hujung minggu lalu berkata, apa-apa usaha untuk mengawal harga barang sewajarnya dimulakan lebih awal sebelum ia menjadi beban kepada rakyat.

“Harga barang sudah naik enam bulan sebelum Raya Puasa, ini nak masuk Raya Haji, lepas ini Raya Cina, baru minggu lalu tubuh jawatankuasa Kabinet, ini kerajaan apa?
 
“Sekarang harga sudah naik melambung RM13, RM14 1kg ayam baru buat jawatankuasa Kabinet…’bangang’, tak membantu sama sekali masalah rakyat, tak prihatin,” katanya.

Post a Comment

0 Comments