TIMBALAN PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang baru dipilih, Rafizi Ramli menggesa ahli parti itu terus aktif menyanggah apa sahaja propaganda yang ditonjolkan bekas presiden Umno, Najib Razak dan parti itu.
Najib yang sudah disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram oleh dua mahkamah katanya sudah semakin "menggila" dan ia perlu ditamatkan.
Sebagai permulaan, Rafizi meminta semua perwakilan di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Najib ekoran Ahli Parlimen Pekan itu yang dakwanya memainkan isu perkauman dan meracuni pemikiran rakyat.
"Dari saat ini, kita sudah tak banyak masa. Ada banyak tugas berat untuk dipikul dan yang pertama (adalah) sanggah Umno.
"Kita tidak boleh biarkan Najib bermaharajelela dan sebab tugas pertama semua sejurus balik dari kongres ini sanggah propaganda Najib hingga hantar dia ke penjara.
"Setiap kali Najib berbohong, jangan duduk diam, kita buat laporan polis demi laporan polis sebab saya tahu Najib ni penakut.
"Lepas ini, Najib akan jawab semua (laporan) macam dia jawab dalam 'court' (mahkamah) iaitu ‘saya tak tahu’ sahaja.
"Selasa ini saya minta pimpinan semua peringkat untuk sama-sama buat laporan kepada polis di seluruh negara. Kita tak boleh biar dia (Najib) main isu perkauman, meracuni rakyat," katanya ketika menyampaikan ucapan sulung sebagai timbalan presiden.
Sementara itu, Rafizi mengakui Umno mungkin boleh bertepuk tangan melihat perpecahan yang kononnya berlaku dalam KEADILAN, namun yakin parti itu akan menangis selepas ini.
![]() |
Rafizi dakwa Najib racuni fikiran rakyat |
"Saya tak bimbang kalau kata parti ini berpecah..biarlah Umno dok tepuk tangan, esok Umno akan menangis saudara-saudari," katanya.
0 Comments