PIHAK Polis dilapor menyekat perarakan hampir 500 peserta protes kenaikan harga barang dari memasuki kawasan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.
Dipetik laporan media, kumpulan Gabungan Mahasiswa yang menggelar diri mereka sebagai “Turun Malaysia” berkumpul di luar kompleks beli-belah Sogo kira-kira jam 2 petang bagi menuntut Putrajaya mengambil langkah serius untuk menangani kenaikan harga barang.
Dalam ucapan, wakil mereka mengulang kembali lima tuntutan mereka terhadap kerajaan iaitu menuntut pemotongan gaji menteri dan timbalan menteri, menuntut agar bantuan yang bermaruah dapat diberikan kepada semua lapisan masyarakat dan menuntut agar kerajaan mengekalkan subsidi sedia ada serta tidak mengurangkan sebarang bentuk subsidi yang lain.
Mereka juga menuntut agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengawal harga barangan dan makanan kafeteria dan vendor di dalam universiti kerana berlakunya peningkatan harga makanan yang mendadak mahu pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah jaminan makanan (food security).
Sebelum ini Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya memberi amaran supaya orang ramai tidak terlibat dalam himpunan itu.
Walau bagaimanapun kumpulan itu menegaskan akan meneruskan rancangan mereka hari ini.
Himpunan membantah kegagalan kerajaan menangani kenaikan harga barangan yang semakin menekan orang ramai itu turut mendapat sokong parti politik pembangkang terutama dari Pakatan Harapan dan MUDA. Potong gaji menteri antara tuntutan mereka
Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid; ADUN Ketari, Young Syefura Othman dan ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz adalah beberapa pemimpin yang dilihat hadir ke protes tersebut.
0 Comments