Perginya Ahmad Lutfi, penulis bertaraf lagenda


EDITOR dan penulis prolifik terkenal. Ahmad Lutfi Othman meninggal dunia pagi ini beberapa jam selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-59.

Berita sedih itu dikongsikan isterinya, Siti Hawa Samsam menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Siti Hawa, Lutfi meninggal dunia pada jam 2.10 pagi ketika menjalani rawatan untuk beberapa komplikasi kesihatan di Hospital UiTM Puncak Alam .

Menjadi wartawan dan editor selama lebih tiga dekad, Lutfi dikenali sebagai ketua editor lidah rasmi PAS, Harakah. Beliau mengetuai sidang editorial Harakah pada 1987 hingga 1992 dan pada 2006 hingga 2015. Tulisannya sering dianggap sebagai suara utama ketika era Reformasi.

Allahyarham kemudian menyertai Malaysia Dateline, iaitu lidah rasmi parti Amanah. Perjuangan Lutfi ke arah kebebasan media turut menyaksikan penubuhan ‘Kumpulan Aktivis Media Independen’ (Kami) bersama beberapa lagi aktivis lain.

Pernah dipecat daripada UTM, Lutfi pernah ditahan di bawah ISA dan ditangkap kerana isu-isu marhaen yang diperjuangkannya.

Beliau banyak menulis pelbagai buku dan artikel berkenaan politik negara, dan diterbitkan di tengah keterbatasan kebebasan media.

Turut dianggap ikon kebebasan media yang konsisten lantang menentang kezaliman Akta Mesin Cetak , pandangan Lutfi amat ditakuti apabila majalah Tamadun, Detik, dan Siasah yang diinspirasikan oleh beliau diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Susulan pemergiannya, banyak pihak mengucapkan takziah kepada anak kelahiran Kedah itu.

"Kita semua menjadi saksi bahawa Almarhum adalah tokoh yang istiqamah melawan kemungkaran pemerintah sehingga akhir hayatnya.

"Beliau bukan sahaja penulis yang hanya berada di meja editor tetapi jasadnya turut berada di lapangan umat," kata ADUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil yang menyifatkan pemergian itu sebagai satu kehilangan dalam dunia penulisan dan kewartawanan.

Ketua Pemuda Amanah, Nasional Hasbie Muda berkata tulisan tokoh Aktivis Pena Parti Amanah Negara (AMANAH) 2019 itu sentiasa ditunggu-tunggu waktu itu baik dalam bentuk buku, majalah, tabloid mahupun kolum di akhbar.

Allahyarham dianggap tokoh kebebasan media
“Perjuangan panjang Ahmad Lutfi dalam bidang penulisan dan kewartawanan adalah suatu yang hebat dan bertaraf lagenda.

“Beliau terus menulis walaupun uzur sejak beberapa tahun lepas.

“Legasinya luar biasa,” katanya. 

Allahyarham Ahmad Lutfi Othman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, Selangor jam 11 pagi tadi.

Post a Comment

0 Comments