Nurul Izzah Naib Presiden, Saifuddin sambung tugas Setiausaha Agung


MAJLIS Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN pada mesyuarat malam tadi mengumumkan lantikan semula Saifuddin Nasution Ismail sebagai Setiausaha Agung parti itu.

Perkara itu diumumkan oleh Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat yang turut melantik beberapa pimpinan bagi mengisi jawatan penting parti itu untuk sesi 2022-2025.

Selain Saifuddin, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah kembali diberi tanggungjawab sebagai Naib Presiden parti. Turut dilantik ke jawatan itu adalah Saraswathy Kandasamy dan Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini yang dilantik bagi mewakili Sabah dan Sarawak.

"Kita adakan mesyuarat pertama dalam tempoh yang singkat setelah selesai kongres Ahad lalu.

"Kita bincang banyak perkara...bermula dengan menyusun barisan kepimpinan baru selain yang telah diberi mandat dalam pemilihan parti yang diumumkan di kongres," kata Anwar pada sidang media itu.

Antara jawatan tertinggi lain yang diumumkan menerusi mesyuarat sama termasuk Bendahari: William Leong yang lantik semula ke jawatan itu, Ketua Penerangan: Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Pengelola: Zahir Hassan.

Bagi ahli MPP lantikan pula adalah G Manivanan, Datuk Cristina Liew, Rodziah Ismail, R Uvaneswaran dan Abun Sui Anyit.

“Ada lima ahli MPP yang juga dilantik kali ini dan dipersetujui iaitu Manivannan, tokoh lama bergerak dalam parti, Ahli Parlimen Tawau, Christina Liew dari Sabah, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail yang lama berkecimpung dalam kegiatan wanita.

“Abun Sui Anyit dari Sarawak dan seorang tokoh muda dari Johor yang bergerak aktif dalam AMK walaupun dia sekarang Ketua Cabang Tebrau,” katanya.

KEADILAN selesai susun kepimpinan utama
Dalam pada itu, Anwar berkata Fahmi diberi tugas pertama dengan menyusun perwakilan untuk mesyuarat MPP Pakatan Harapan (HARAPAN) yang akan bermesyuarat Selasa minggu depan.

"Setiap parti akan diwakili lima orang termasuk Ketua Wanita (Fadhlina Sidek) dan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (Adam Adli Abd Halim), saya, Rafizi Ramli, (Naib Presiden) Chang Lih Kang, Nurul Izzah dan Saifuddin Nasution," katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments