Menteri jaga perut rakyat atau perut sendiri?


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemimpin kerajaan gagal memahami masalah dan derita rakyat.

Dipetik wawancara Presiden KEADILAN itu bersama media Selangorkini, Anwar berkata, kegagalan itu bertambah teruk apabila pemimpin kerajaan terus bertelagah sesama sendiri ketika rakyat dibiar terus terhimpit dengan masalah kenaikan harga barang.

Masalah yang tidak diselesaikan itu jelas Anwar bukan sahaja menjejaskan golongan kurang berkemampuan di negara ini, malah turut memberi kesan kepada peniaga kecil.

"Saya makan baru-baru ini selepas solat Jumaat di Kampung Pandan.

"Di warung-warung dekat situ (peniaga) semuanya mengeluh, ‘buat apa kacau kami, harga barang sudah begitu rupa, kami beli begitu rupa.’ Semua kena sita dan kena denda," katanya.

Isu kenaikan harga barang tidak pernah diurus dengan baik oleh kerajaan terutama selepas Kerajaan HARAPAN ditumbangkan melalui langkah Sheraton.

Ketika pentadbiran Mahiaddin Md Yassin rakyat berdepan tekanan apabila pendemik Covid-19 melanda dunia sekaligus menyebabkan ramai rakyat di negara ini kehilangan pendapatan.

Rakyat melancarkan kempen 'kibar bendera putih' bagi memastikan glongan tidak berkemampuan dapat meneruskan kehidupan.

Setelah Mahiaddin dijatuhkan dan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob mengantikannya, isu harga barangan keperluan terus diperkatakan.

Beberapa barang keperluan seperti sayur-sayuran, ikan dan sebagainya terus mencatatkan kenaikan harga, situasi itu ditambah teruk apabila negara terputus bekalan ayam di pasaran.

Tidak terhenti setakat itu, rakyat semakin terkesan apabila pentadbiran Ismail mengumumkan penarikan semula subsidi minyak masak dalam botol dan mansuhkan harga siling ayam dan telur.

Sementara itu Anwar dalam wawancara tersebut turut mengkritik cara kerajaan mengurus krisis. Kerajaan jelasnya bukan sahaja dilihat terlalu perlahan, tetapi boleh dianggap sebagai tidak melakukan apa-apa bagi memastikan pengguna tidak tertekan dengan isu tersebut.

"Ini yang saya sebut istilah yang agak keras dan kasar sikit yang mereka marah ‘oh seolah-olah kerajaan tidak buat apa.’ Kerajaan buat, siapa kata tidak buat apa-apa. Tetapi yang orang kata, sekadar sambil lewa. Dia (kerajaan) tidak faham masalah rakyat.

"Saya rasa lebih dekat setahun sudah melonjak naik. Enam bulan sudah betul-betul naik dan tiga bulan yang teruk, baru ditubuhkan jawatankuasa khas Kabinet.

"Yang patut dikendali, kalau pengalaman saya, mesti langkah yang menyeluruh dan kemudian beberapa langkah tambahan seumpamanya.

"Hal-hal ini, itu kerja menteri. Bukan hendak tunjuk fesyen baju. Macam sekarang ini asyik fikir siapa jawatan hendak tambah sana, hendak tambah sini. Bukan begitu. Masalah rakyat kena tangani. Yang tidak mengapa. Pakailah batik macam mana pun, orang tidak akan sibuk. Tapi kalau hal yang utama ini diremehkan, inilah jadinya," kata bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan terbaik Asia era 90-an itu.

Sebagai rekod, ketika rakyat yang masih belum pulih dari kesan pendemik berdepan isu kenaikan harga barang, pemimpin dalam kerajaan dilihat terus bertelagah sesama sendiri.

Pemimpin 'berlaga' rakyat tanggung derita
Ismail Sabri bukan sahaja menerima tekanan dari dalam partinya sendiri supaya pilihan raya segera diadakan, tetapi berdepan karenah dari parti-parti gabungan kerajaan sendiri termasuk yang terbaharu berkaitan tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri dari parti Bersatu.

Selain isu-isu tersebut, kerajaan Ismail yang dianggotai Umno, Bersatu dan PAS selain parti-parti lain dilihat tidak berada dalam suasana harmoni apabila bertanding menentang sesama sendiri di beberapa pilihan raya negeri sebelum ini.

Post a Comment

0 Comments