SEORANG Pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa gabungan itu mengukuh kedudukan dan sokongan rakyat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Hassan Abdul Karim (KEADILAN - Pasir Gudang) berkata, peluang itu mesti direbut dengan langkah dan strategi berkesan terutama ketika Umno sedang berada dalam situasi retak menanti belah.
"Pertama, HARAPAN boleh jadi penonton sahaja, bersorak-sorai ketawa terbahak-bahak melihat 'circus' dalam Umno.
"Kedua, mengambil inisiatif menggembleng kekuatan positif yang masih ada dalam kalangan parti-parti pembangkang dengan menyaring dan menyisih elemen-elemen negatif dalam kalangan mereka. Ini demi membina kerjasama pilihan raya (electoral understanding).
"Ketiga, kembali kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan mereka. Kemukakan buah fikiran, idea, cadangan dan agenda perubahan yang tulen, bukan retorik.
"Percayalah kepada rakyat. Mereka mahukan perubahan dan harapan yang menjamin nasib masa depan mereka, anak-cucu mereka. Mungkin sekarang ini terbuka peluang kedua bagi HARAPAN untuk mendapatkan semula mandat menyelamatkan rakyat dan Malaysia tercinta," kata bekas Pengerusi KEADILAN Johor itu dalam satu kenyataan.
Walaupun dinafikan, Umno kini dilihat semakin berpecah terutama dengan pendedahan Ahli Parlimen Pasir, Tajuddin Abdul Rahman mengenai Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan presiden parti itu.
Rentetan pendedahan itu berlaku tuduh menuduh antara pemimpin Umno termasuk yang telah meninggalkan parti itu selepas PRU lalu.
Tajuddin yang dipecat dari Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mendedahkan terdapat usaha menjatuhkan Ahmad Zahid Hamidi oleh Mohamad Hasan dan Najib Razak pada Mei 2020 melalui perjumpaan tertutup yang diadakan di rumahnya.
Menunjukkan bukti perjumpaan itu dalam satu sidang media, Tajuddin berkata, gerakan itu bagaimanapun gagal apabila Mohamad atau mesra dipanggil Tok Mat yang juga timbalan presiden Umno membuat pusingan U selepas digertak oleh orang-orang Zahid dan Najib dicadangkan menjadi pengerusi Barisan Nasional (BN).
![]() |
Tajuddin dedah wujud usaha jatuhkan Zahid |
"Najib pula 'de facto' pemimpin Umno yang ingin membuat 'coming back' menjadi bos di Putrajaya sekali lagi sudah menjadi liabiliti kepada Umno.
"Najib mungkin berjaya melengah-lengahkan perbicaraan kesnya di mahkamah dengan pelbagai permohonan interlokutori tetapi Najib sudah gagal untuk mendapatkan kercayaan rakyat lagi," tambahnya.
0 Comments