Oleh: MOHSIN ABDULLAH | Apabila kerajaan mengumumkan langkah penjimatan perbelanjaannya tempoh hari, antara cadangan yang timbul (disuarakan rakyat marhaen) ialah supaya Kabinet Ismail Sabri Yaakob dikecilkan.
Kita tahu sekarang ada 31 menteri, termasuk empat menteri kanan. Timbalan menteri pula ada 38 orang. Ada juga ramai penasihat bertaraf menteri. Kita tahu betapa besarnya jumlah kewangan untuk menyara mereka.
Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid mengajukan pertanyaan kepada Dewan Rakyat akan “penambahbaikan” terhadap barisan Jemaah Menteri.
FMT pula baru-baru ini melaporkan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, timbul gesaan agar Ismail mengecilkan saiz Kabinetnya atau mengurangkan elaun menteri.
Gesaan dibuat Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan yang antara lain turut menggesa kerajaan memansuhkan jawatan duta khas. Maksudnya duta khas ke Timur Tengah, China, Asia Timur, dan Asia Selatan. Sewajarnya kerana di semua negara di wilayah itu sudah ada duta dan kedutaan lengkap.
Apa respons kerajaan terhadap pertanyaan Abdullah? Dalam jawapan bertulis Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad berkata, bilangan anggota Jemaah Menteri “memenuhi keperluan negara buat masa ini”.
Kata beliau lagi, bilangan menteri pada tahap optimum dan kerajaan berpandangan jumlah dan pelantikan anggota pentadbiran “adalah yang terbaik berdasarkan keperluan, cabaran dan tanggungjawab serta kepakaran yang diperlukan buat masa ini”.
Ertinya, Kabinet tidak akan dikecilkan. Semua menteri kekal. Begitu juga yang di luar Kabinet, iaitu timbalan menteri, duta khas bertaraf menteri kekal selesa. Maka, hilanglah satu cara untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan.
Pada 19 Julai lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan usul untuk menaikkan gaji (saraan) ketua menteri, anggota pentadbiran negeri dan ADUN. Kenaikan yang lumayan membabitkan jumlah kewangan besar pastinya.
Oh, ini langkah kerajaan negeri, tiada kena-mengena dengan langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan pusat. Tetapi, dalam keadaan hari ini, bukankah elok jika kerajaan negeri juga berjimat cermat? Inflasi, kos sara hidup dan harga makanan tinggi terjadi di Negeri di Bawah Bayu juga bah.
Bercakap mengenai Sabah, isu hangat dewasa ini ialah tuntutan waris Kesultanan Sulu. Sebenarnya, ia memberi kesan kepada negara, bukan hanya Sabah.
Selang beberapa hari, kerajaan mengumumkan langkah penjimatan perbelanjaannya, ia memilih hotel lima bintang di Kuala Lumpur sebagai tempat memberi taklimat mengenai isu tuntutan waris Kesultanan Sulu.
Tidakkah ini bercanggah dengan langkah penjimatan itu? Cakap tak serupa bikin?
Taklimat tertutup itu diberi Menteri Luar, Saifuddin Abdullah dan Menteri Undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar (pada malam 21 Julai lalu) kepada Ahli Parlimen, setelah usul yang dibawa Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah mengenai isu tuntutan itu ditolak Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun tempoh hari.
(DUN Sabah juga menolak usul isu tuntutan ini, walaupun ia secara langsung mempunyai kesan ke atas Sabah).
“Kalau kita boleh sewa ‘ballroom’ sebuah hotel lima bintang, kenapa Ahli Parlimen tidak boleh membahas isu ini di Dewan Rakyat?” tanya Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.
Saya setuju, walaupun kata Azhar, usul itu ditolak untuk elak strategi negara diketahui pihak lawan.
Tetapi tanya Teo lagi: “Buat apa kita bazir duit pergi sewa ‘ballroom’ hotel lima bintang dan kita tidak guna fasiliti yang sedia ada di Dewan Rakyat? Ya, kita tahu sewa ‘ballroom’ atau dewan utama hotel lima bintang bukan murah.
Kerja pembaikan dan pengubahsuaian yang menelan jutaan ringgit sudah dilaksana di Dewan Rakyat, maknanya kemudahan sekarang adalah “first class”. Mengapa pilih hotel dan bukan Dewan Rakyat? (Adakah taklimat disusuli makan makan? Kalau ada, bil makan di hotel memang tinggi)
Jika kerajaan tidak mahu isu itu dibahas (menurut alasan Speaker Dewan Rakyat), taklimat tetap boleh diadakan di dalam Dewan Rakyat atau banyak lagi lokasi sesuai dalam bangunan Parlimen. Taklimat boleh diadakan bila-bila masa. Siang, malam atau larut malam, mahupun awal pagi secara tertutup (walaupun secara peribadi, saya setuju usul dibahas secara terbuka dalam Dewan Rakyat).
Namun, itu hanya pendapat saya, rakyat biasa. Hotel lima bintang tetap pilihan kerajaan dan seperti dikatakan tadi, taklimat sudah pun diadakan di hotel berkenaan. Maka, berbelanjalah kerajaan yang mengaku mahu berjimat cermat.
Berbalik kepada Latiff. Kali ini mengenai jawapan di Parlimen kepada pertanyaan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang mahu tahu kos kempen Keluarga Malaysia (konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan Ismail apabila menjadi perdana menteri).
Kata Latiff, kerajaan sudah membelanjakan RM5 juta untuk “menjayakan” kempen Keluarga Malaysia, merangkumi pelbagai aspek, termasuk pengiklanan dan promosi.
Bagi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman “pengiklanan” dan “promosi” adalah “propaganda”.
Kata beliau: “Dalam keadaan ekonomi yang tenat dan kos sara hidup tinggi, perlu ke belanja wang sebanyak itu demi propaganda kerajaan? RM5 juta bukan sikit”. Kata-kata yang sememangnya masuk akal dalam keadaan negara masa kini.
Berdasarkan semua yang dihuraikan di atas, nampaknya kerajaan mahu berjimat pada masa yang sama berbelanja boros.
Tetapi, diakui Kementerian Kewangan sudah memberi garis panduan mengenai langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan. Pastinya secara menyeluruh dan makro dan mungkin juga mengambil kira nasihat Cuepacs bahawa langkah penjimatan perbelanjaan yang dilaksana kerajaan “mesti diteliti supaya tidak menyebabkan implikasi negatif kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat”.
Menurut Presiden Cuepacs, Adnan Mat “adalah tidak wajar jika pemotongan perbelanjaan ini menjejaskan aspek perkhidmatan kritikal, termasuk kesihatan dan keselamatan”. Setuju.
“Pada akhirnya perkhidmatan awam akan dihakimi oleh rakyat sebagai gagal kerana tidak mampu memberi perkhidmatan terbaik,” kata beliau. Juga setuju.
Tetapi Adnan juga berkata, “perkara ini termasuk hal membabitkan perjawatan. Terdapat banyak kekosongan tidak diisi ketika ini dan jika ia diperketatkan, Cuepacs bimbang banyak jabatan akan terjejas, terutama perkhidmatan langsung kepada rakyat”. Apa yang dimaksudkan beliau? Isi kekosongan ertinya kenaikan pangkat?
Jika mahu ambil kakitangan baharu untuk mengisi kekosongan, saya tidak setuju. Perkhidmatan awam kita disifatkan ramai sebagai “a bloated workforce”. Maka kakitangan yang ada mampu menjalankan tugas dengan baik demi rakyat, jika tidak “dikongkong” langkah penjimatan kerajaan yang munasabah.
Realitinya, kerajaan mesti tahu apa itu perbelanjaan perlu dan apa itu pemborosan. Kerajaan mesti “get its priorities right”. Tentu ada perbelanjaan yang menurut kerajaan “wajar” dan ada pemotongan perbelanjaan yang tidak memberi kesan besar atau “negligible”.
![]() |
Kata-kata mesti dibuktikan dengan tindakan |
Mungkin ada yang kata ini penjimatan wang kecil. Berapa sangat ringgit yang dijimatkan.
“Negligible”. Mungkin betul, tetapi mesej Nik Aziz ialah jangan membazir. Pembaziran mesti ditiadakan, jika mahu berbelanja dengan hemat.
MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.
Artikel ini adalah pandangan penulis yang disalin dari siaran asal di portal FMT
0 Comments