KEADILAN sedia hadapi PRU dengan gabungan Anwar - Rafizi


BEKAS Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Akmal Nasrullah Mohd Nasir parti itu kini sudah cukup bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Melalui ucaptama di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam pada Jumaat, Akmal berkata gandingan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli sebagai timbalan presiden mampu melengkapi antara satu sama lain.

Kedua-dua mereka jelasnya memiliki pengalaman yang dapat membantu kepada kemenangan parti.

”Anwar dikenali dan diiktiraf sebagai susuk yang melahirkan gerakan Reformasi pasca 1998, arkitek kepada gagasan reformasi dan kerana derita yang ditanggungnya, kita perolehi perubahan landskap politik yang bermanfaat buat rakyat.

“Saudara Rafizi pula berupaya dan mampu berperanan membantu parti meraih sokongan berbilang segmen dan susuk yang membawa pendekatan politik yang segar berasaskan formula dan data,” katanya seperti dilapor Bernama.

Pada pemilihan parti yang baru berakhir, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) diumumkan menang tanpa bertanding untuk jawatan presiden bagi tempoh 2022-2025.

KEADILAN kini telah bersedia, kata Akmal


Rafizi yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pandan pula menang jawatan nombor dua parti, menewaskan Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Sementara itu, Akmal yang menamatkan peranannya sebagai Ketua AMK sesi 2018-2021 hari ini, menggesa ahli parti itu terus memainkan peranan menyakinkan rakyat sebagai persediaan dan strategi memasuki gelanggang PRU15.