KEADILAN bakal pertahan semua kerusi dimenangi pada PRU14

 



PARTI Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan mempertahan semua kerusi Parlimen dan DUN dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum  2018.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan mempertahan 48 kerusi Parlimen dan 73 DUN itu dicapai pimpinan parti ketika mengadakan permukiman di Subang Jaya baru-baru ini.

"Keputusan pimpinan (adalah), KEADILAN akan masuk PRU15 dengan matlamat untuk menang dan memerintah; dan jika rakyat beri mandat, calon Perdana Menteri adalah (Presiden KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata ketika merasmikan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2021 dan 2022 yang bertemakan Bina Keyakinan Rakyat, di Shah Alam semalam.
 
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu turut menjelaskan bahawa parti itu juga bakal berunding dengan komponen parti Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dianggotai DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi tambahan kerusi yang boleh ditandingi KEADILAN.

Beliau turut menyatakan harapan agar parti itu muncul sebagai parti terbesar sekaligus dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN)

KEADILAN mahu jadi parti terkuat


"….dengan harapan (parti) muncul sebagai parti terbesar dan terkuat. Itu keputusannya... masuk bertanding dan menang, bertanding di semua kerusi yang kita menang, dan kita telah arah jentera pilihan raya membuat persiapan," katanya.

Sementara itu beliau turut mendedahkan tiga teras tawaran parti itu yang dipersetujui pada pemukiman yang diadakan, ia meliputi usaha untuk membanteras rasuah, membina semula ekonomi negara termasuk menamatkan kaedah monopoli harga beras, serta memberikan perlindungan sosial kepada rakyat seperti bantuan tunai selain menetapkan 'universal basis income' sebagai gantian kepada gaji minimum.
 

Post a Comment

0 Comments