Jika saya Azam Baki, saya letak jawatan - Rafizi

 


KETUA Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dikritik susulan kenyataannya yang menyifatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transperency International tidak menggambarkan situasi sebenar pelakuan jenayah itu  di negara ini.

Rafizi Ramli dalam kenyataan berkata CPI diterima pakai di seluruh dunia dan ia juga penting kerana digunakan pelabur asing untuk menilai tahap rasuah dalam negara.

"Lebih penting lagi, ia satu-satunya kayu ukur yang paling bebas mengenai tanggapan rakyat terhadap amalan rasuah," katanya Timbalan Presiden KEADILAN itu.

Azam ketika berucap pada program Sembang Eksekutif Media Elektronik dan Portal Bersama SPRM di Putrajaya berkata Malaysia, yang berada di kedudukan ke-62 lebih baik daripada Vietnam (ke-87), Indonesia (96) dan Thailand (110).

Sementara itu Rafizi mendakwa CPI semakin merosot sejak Azam menerajui suruhanjaya itu sejak pertukaran kerajaan persekutuan dalam tahun 2020.

Katanya, kedudukan Malaysia daripada 180 negara terus turun dari 62 (2017), 61 (2018), 51 (2019), 57 (2020) dan kembali pada 62 pada 2021.

"Jika saya menjadi Azam Baki, saya akan meletakkan jawatan.

"Kerana usaha rakyat menolak rasuah seolah-olah sia-sia apabila rakyat merasakan keadaan sekarang tidak banyak berbeza dengan semasa skandal 1MDB memuncak," katanya dengan berkata CPI itu gambaran bahawa rakyat merasakan amalan rasuah sudah sampai ke peringkat semasa skandal 1MDB memuncak pada 2017.

"Kita tidak boleh salahkan rakyat biasa jika mereka merasakan amalan rasuah semakin berleluasa sehingga telah mencapai tahap 2017 ketika skandal 1MDB memuncak.

Rakyat rasa rasuah berleluasa semula
"Tanggapan rakyat ini dibentuk dengan mengamati tindakan dan gerak-geri SPRM (terutamanya ketua pesuruhjayanya) dalam menangani skandal-skandal besar yang melibatkan berbilion wang negara.

"Walaupun ada saja ikan-ikan bilis yang ditangkap setiap hari, tanggapan rakyat mengenai amalan rasuah tidak akan berubah jika tidak ada tindakan terhadap jerung-jerung besar," kata bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

Post a Comment

0 Comments