Cakap pasal bela Melayu , tapi lokek


A KADIR JASIN | Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) tamatkan perkhidmatan Ekspres Wau antara Tumpat, Kelantan dan Kuala Lumpur pasal rugi RM6 juta setahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti kerajaan negeri Kelantan, Azami Mohd Nor kata, ia berikutan pihak KTMB tanggung kos operasi yang tinggi.

Apakah ini dasar dan tahap keprihatinan kerajaan Keluarga Malaysia terhadap rakyat luar bandar? Rugi RM6 juta setahun tak boleh tanggung tapi belanja RM52 bilion untuk bina MRT di bandar boleh?

Kalau KTM rugi, Prasarana untung ka? Ikut laporan media, setakat akhir 2019, kerugian terkumpul Prasarana berjumlah RM42.41 bilion dan tanggungan (liabilities) RM35.38 billion di atas aset yang dianggarkan hanya RM1.3 bilion.

Inilah antara masalah saya dengan kerajaan Umno-BN zaman Mohd Najib Abdul Razak. Cakap pasal Melayu dan Bumiputera sampai tersembur-sembur air liur tetapi curah duit macam air di bandar.

Dengan orang luar bandar lokek. Bagi tahi hidung masin kepada luar bandar tapi berperangai macam ayam betina; bertelur sebiji riuh sekampung.

Maaf cakaplah kalau saya kata, nampaknya hipokrasi Umno ini berterusan di bawah kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan parti tersebut.

Hipokrasi berterusan bawah Keluarga Malaysia
Bayangkan, rugi RM6 juta dengan guna landasan zaman penjajah pun dah hentikan perkhidmatan macam mana bila sampai masa untuk guna landasan baru ECRL?

Silap-silap bukan KTM saja rugi, malah nak bayar balik hutang kepada negeri China pun susah. Kos ECRL kira-kira RM50.27 bilion dan pembayaran balik, termasuk faedah dan harga tanah, dianggarkan RM80.92 bilion.

A KADIR JASIN ialah wartawan veteran yang kritis terhadap politik dan isu semasa dalam negara

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Kartelmedia

Post a Comment

0 Comments