Dasar kerajaan punca wujud 'kartel', kata ahli ekonomi

 


PANDANGAN kerajaan bahawa orang tengah dan kartel wujud disebabkan kuasa pasaran dibidas seorang Ahli Ekonomi terkenal.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia menyifatkan pandangan itu sebagai “agak tidak masuk akal” sedangkan kerajaan menurutnya yang memainkan peranan mewujudkan kumpulan itu.

Beliau merujuk kuasa kerajaan mengeluarkan lesen dan permit serta menetapkan peraturan pasaran.

“Ia telah menjadi dasar kerajaan sejak bertahun-tahun untuk mewujudkan anti-persaingan seperti ini dan kini kita melihat kesannya,” katanya mengulas kenyataan Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Annuar Musa.

Annuar sebelum ini mendakwa terdapat “kecenderungan” untuk kartel wujud dalam pengeluaran ayam, telur dan minyak masak.
 
Williams yang dipetik laporan FMT menambah, walaupun orang tengah boleh membantu menyelaraskan bekalan dan membawa masuk produk ke pasaran namun pengalaman biasa di negara ini adalah mereka memanipulasi pasaran, meningkatkan harga dan mengambil untung besar antara pengeluar dan pengguna.

Katanya, kartel, monopoli dan orang tengah perlu dikekang bagi menangani perkara ini.

“Ini boleh dilakukan dengan mewujudkan lebih banyak pasaran bebas dan mengurangkan campur tangan kerajaan. Dengan cara itu, barulah ada peluang untuk harga kembali menjadi normal, murah atau sekurang-kurangnya lebih berpatutan,” katanya lagi.

Sementara itu  Naib Pengerusi Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia Raymond Woo dipetik laporan sama berkata ada juga orang tengah yang cuba mengurangkan kenaikan harga barang.

Pihak itu jelasnyaberbuat demikian dengan menurunkan margin mereka dalam tempoh jangka pendek untuk mengurangkan beban orang ramai.

“Kita hanya boleh berharap orang tengah menetapkan margin yang sesuai untuk memastikan hubungan yang berkekalan dengan semua pihak berkepentingan,” katanya.

Dasar anti persaingan beri kesan negatif
Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Shaun Cheah pula berkata biarpun orang tengah begitu penting dalam rantaian bekalan namun ada juga yang langsung tidak menyumbang.

Katanya, ini adalah orang tengah yang mencari untung dan bertindak sebagai “penjaga pintu” atau memonopoli permit import (AP) serta tidak memberi nilai tambah tetapi berselindung sebagai pihak yang ingin mengekalkan kualiti.

Post a Comment

0 Comments