Banjir Baling: P.Pinang hantar 'wira oren', Selangor balas budi

ATAS Dasar keperihatinan, kerajaan Pulau Pinang menghantar kakitangan dan 'wira oren' bagi membantu mangsa bencana banjir di Baling, Kedah baru-baru ini.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam misi bantuan bencana banjir ke Baling, Kedah.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow dipetik laporan Bernama berkata selain 59 'wira oren' dari MBSP dan MBPP, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dari negeri itu termasuk bomba sukarela juga digerakkan sejak Selasa untuk memberi bantuan kecemasan kepada penduduk yang terlibat.

"MBSP membawa lima kenderaan iaitu sebuah lori tangki, sebuah lori roro, sebuah kren, sebuah tail lift dan sebuah keeper.

"Selain itu, mereka turut dilengkapi peralatan lain seperti gergaji rantai, pemotong dan penyembur air (water jet).

"Pasukan bantuan MBPP pula dilengkapi peralatan dan jentera seperti lori combi, lori HST, skid loader, SSL (bobcat), multi purpose loader dan sebagainya," katanya di George Town.

Chow berkata kesemua petugas akan menjalankan kerja-kerja utama seperti mengalihkan pokok yang tumbang, mencuci rumah, selut dan mengalihkan perabot yang telah rosak.

Selain bantuan pembersihan, kata Chow, Mutiara Food Bank juga telah menghantar makanan yang telah dimasak ke kawasan tertentu.

"Kami berharap dengan bantuan yang disalurkan pelbagai pihak, kehidupan penduduk yang terlibat akan kembali normal selepas ini," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu banjir dan fenomena kepala air di Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara selain tujuh rumah musnah dihanyutkan air serta kira-kira 70 rumah rosak akibat kejadian itu.

BACA: Jangan ulang kesilapan, Anwar beri amaran kepada k'jaan


Chow sementara itu berkata, kerajaan negeri turut melahirkan rasa simpati terhadap mangsa banjir di daerah Baling yang kehilangan harta benda dalam kejadian Isnin lepas.

Sukarelawan dihantar ringankan beban mangsa
Sementara itu, misi serupa turut digerakkan kerajaan negeri Selangor membantu mangsa banjir di Kampung Bukit Iboi Mukim Baling

Kerajaan negeri menghantar lebih 200 sukarelawan terdiri dari 189 anggota sukarelawan daripada 12 majlis perbandaran (PBT) di seluruh negeri serta 22 ahli pertubuhan Sukarelawan Selangor (Serve)

Langkah tersebut umpama membalas budi yang pernah dihulurkan sukarelawan Kedah kepada Selangor dalam kejadian banjir besar pada Disember tahun lalu.
 
“Kita akan hantar lagi sekiranya kerajaan Kedah memerlukan lebih ramai sukarelawan atau apa-apa bantuan yang diperlukan mangsa banjir,” ujar Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari

Post a Comment

0 Comments