Cara k'jaan tangani isu kenaikan harga dianggap lucu


CARA kerajaan menangani isu kenaikan harga barangan dan inflasi yang menghimpit rakyat dianggap sebagai melucukan.

Naib Presiden parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata begitu sebagai merujuk kepada tindakan kerajaan yang terdesak mewujudkan beberapa 'task force' setelah hebat dikritik rakyat susulan kegagalan mereka.

"Sampai tiga 'task force' termasuk Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) kemudian Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang semuanya memainkan peranan dan fungsi yang sama.

"Yang terbaharu ini dengan keanggotaannya adalah orang yang sama. Saya berfikir apa lagi idea baru yang boleh diperolehi daripada 'task force' ini sedangkan dua sebelum ini tidak nampak idea yang boleh gerakkan usaha yang lebih baik," katanya dipetik laporan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dipengerusi Annuar Musa.

Mahfuz sebelumnya diminta mengulas isu kenaikan harga selepas merasmikan Konvensyen Negeri Perak 2022 Amanah kali ke-7 di Ipoh pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menyelar cadangan  Pengerusi MPN, Mahiaddin Md Yassin supaya kerajaan membentuk Majlis Pemulihan Negeri.

Tegas Mahfuz penubuhannya dilihat tidak akan mampu mencapai satu penyelesaian konkrit terhadap masalah dihadapi rakyat, malah lebih teruk dianggap sebagai suatu pembaziran.

"Muhyiddin suruh tubuh majlis itu di peringkat negeri, yang 'task force' jihad suruh tubuh satu agensi peringkat negeri. Kenapa habiskan wang untuk mesyuarat, makan karipap dan pulut udang sebagainya tetapi perut rakyat terus kelaparan.

Mahfuz anggap tindak tanduk k'jaan melucukan
"Kita lihat kerajaan hari ini adalah kerajaan pak lawak, kerajaan maharaja lawak. Dia yang menaikkan harga ayam, dia juga hendak melancarkan jihad untuk menghadapi inflasi. Salah satu daripada soal inflasi adalah kenaikan harga barang. Ini satu keadaan yang melucukan dalam negara kita.

"Dalam sejarah kita memiliki sebuah negara berkerajaan, inilah kerajaan yang paling lemah dan ini tidak akan memberi kesan baik kepada masa depan kepada kehidupan masyarakat," katanya.